AUSTRALIA 3 BRAZIL 2

Jaringan ke-16 Marta dalam Piala Dunia Wanita tidak cukup untuk membantu Brazil menewaskan Australia selepas tewas 2-3 dalam aksi Kumpulan C di Montpellier, awal pagi tadi.


Pemegang rekod jaringan terbanyak Brazil itu, yang terpaksa digantikan selepas waktu rehat ekoran kecederaan, menyamai rekod jaringan Miroslav Klose dalam Piala Dunia ketika dia membuka jaringan pada minit ke-27.

Cristiane meneruskan rekod jaringannya selepas mencatat hatrik ketika menewaskan Jamaica dalam perlawanan pembukaan dengan menghasilkan jaringan kedua Brazil, namun Caitlin Foord kembali menghidupkan peluang Australia menerusi gol sebelum tamat separuh masa pertama.

Selepas jaringan Chloe Logarzo kembali mengikat kedudukan, Australia melengkapkan kebangkitan gemilang itu susulan Monica tertanduk bola ke gawang sendiri dan Sam Kerr didapati tidak mengganggu situasi itu walaupun berada di kedudukan ofsaid.

Australia mendakwa mereka seharusnya menerima sepakan penalti pada minit ke-20, namun pengadil, Esther Staubli, tidak mengendahkan situasi berkenaan dan keputusan video bantuan pengadil (VAR) pula mendapati bola terlebih dahulu terkena tangan pemain Matildas sebelum insiden berkenaan.

Keadaan semakin menyukarkan Australia apabila Elise Kellond-Knight melakukan terjahan gegabah yang menjatuhkan Leticia Santos di kawasan penalti sebelum Marta mudah menewaskan Lydia Williams untuk menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia Wanita.

Tujuh minit kemudian, seorang lagi bintang Brazil, Cristiane, melebarkan kedudukan itu dengan menanduk masuk hantaran Debinha.

Australia tidak mudah mengalah dan selepas Kerr gagal menyudahkan peluang jarak dekat, Foord tidak mengulangi kesilapan itu untuk menemui jaring selepas menerima hantaran lambung Logarzo.

Selepas bolos buat kali pertama dalam saingan peringkat kumpulan sejak 2003, Brazil sekali lagi dibolosi dalam babak kedua selepas Marta, yang tidak beraksi dalam perlawanan pertama ekoran kecederaan paha, tidak dapat meneruskan permainan.

Jaringan penyamaan Australia itu tiba ketika Logarzo menghasilkan penyudah jarak jauh yang gagal dihalang deretan pertahanan tuan rumah pada minit ke-58.

Kekalutan Brazil sekali lagi dihukum lapan minit kemudian apabila Monica secara tidak sengaja tertanduk masuk percubaan Emily van Egmond ke gawang sendiri dan walaupun isyarat ofsaid yang dikenakan ke atas Kerr melegakan Brazil, keputusan itu diubah hasil bantuan VAR untuk skuad kendalian Vadao itu menerima tamparan hebat ekoran kekalahan berkenaan.