SCOTLAND 3 ARGENTINA 3

Argentina mempamerkan kebangkitan terhebat dalam sejarah Piala Dunia Wanita untuk menghidupkan peluang mereka layak ke pusingan 16.


Scotland mendahului 3-0 ketika perlawanan berbaki 16 minit di Paris awal pagi tadi dengan jaringan disumbang oleh Kim Little, Jennifer Beattie dan Erin Cuthbert, sekali gus hampir memastikan kemenangan buat skuad kendalian Shelley Kerr itu.

Tetapi Scotland gagal mempertahankan kelebihan tersebut apabila mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri 3-3 yang menyaksikan mereka berada di tangga tercorot Kumpulan D dan tersingkir daripada Piala Dunia.

Milagros Menendez mengurangkan defisit jaringan buat Argentina sebelum penjaga gol Scotland, Lee Alexander, melakukan jaringan sendiri bagi membenarkan lawan berpeluang untuk mencari gol penyamaan.

Ia merupakan malam yang perlu dilupakan Alexander selepas dia ditewaskan dalam masa kecederaan gara-gara Argentina telah diberikan sepakan penalti yang diambil oleh Florencia Bonsegundo.

Tiada pasukan yang pernah bangkir daripada ketinggalan tiga jaringan untuk mengelak kekalahan dalam sejarah saingan Piala Dunia Wanita.

Tetapi Argentina masih lagi perlu menunggu bagi mengetahui sama ada mereka lolos ke pusingan seterusnya, bergantung kepada keputusan saingan Kumpulan E dan F.