ARGENTINA 0 JEPUN 0

Jepun memulakan kempen Piala Dunia Wanita dengan penuh kekecewaan selepas terikat tanpa jaringan dengan Argentina dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D di Parc Des Princes, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Asako Takakura itu mara ke final dalam dua edisi terdahulu -- menjuarainya pada 2011 -- namun penyertaan buat edisi ketiga berturut-turut itu menimbulkan persoalan selepas mereka memaparkan aksi goyah di Paris.

Argentina tewas kesemua enam perlawanan terakhir dalam Piala Dunia dengan jumlah bolos keseluruhan sebanyak 33 kali, namun mereka memaparkan aksi bertenaga untuk menyekat pasukan yang di kedudukan 30 anak tangga lebih baik daripada segi ranking.

Yui Hasegawa terlepas peluang keemasan untuk meraih mata penuh buat pasukannya dalam babak kedua dan ia perlu diperbaiki menjelang perlawanan dengan Scotland, awal pagi Sabtu ini.

Japun menguasai perlawanan dalam babak pertama, namun sering dikecewakan oleh barisan pertahanan Argentina.

Peluang terbaik tiba pada minit kesembilan apabila Narumi Miura melepaskan rembatan yang tersasar ke bahagian kanan gawang yang dijaga Vanina Correa.

Penjaga gol Argentina itu kemudian menafikan tandukan Yuika Sugasawa di 'back-post' ketika ramai pemain Jepun sedang menantikan peluang untuk menyudahkan gerakan itu dari dalam kotak penalti.

Correa sekali lagi bertindak tangkas selepas lima minit perlawanan bersambung dengan menepis percubaan jarak jauh Kumi Yokoyama sebelum gerakan susulan Sugasawa tersasar jauh.

Hasegawa kemudian memperoleh peluang terbuka sebelum sejam perlawanan, namun rembatannya dari jarak 12 ela jelas mengecewakan.

Kegagalan itu hampir memudaratkan Jepun apabila Argentina menukar corak bertahan kepada serangan yang memberikan beberapa waktu getir buat Negara Matahari Terbit itu.

Kedua-dua pasukan gagal menemui penyudah sehingga wisel penamat, namun Argentina jelas pasukan yang lebih berpuas hati untuk memungut mata pertama di peringkat Piala Dunia.