Itali dan England mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Piala Dunia Wanita sementara Jepun merakamkan kemenangan pertama mereka.

Jepun terlebih dahulu memadamkan kekecewaan kekalahan kepada Argentina dengan menundukkan Scotland 2-1 dalam Kumpulan D.

Pasukan bimbingan Asako Takakura itu mendahului aksi 2-0 selepas babak pertama di Rennes hasil jaringan Mana Iwabuchi dan sepakan penalti Yuika Sugasawa selepas dikasari Rachel Corsie.

Percubaan Erin Cuthbert menggegar palang dalam babak kedua selain tidak bernasib baik apabila tidak dihadiahkan sepakan penalti selepas dikasari, sebelum jaringan Lana Clelland merapatkan kedudukan untuk mereka cuba mengelak kekalahan kedua berturut-turut dan di ambang pintu keluar.

Itali menjadi pasukan ketiga untuk memastikan slot kalah mati apabila membelasah pendatang baru, Jamaica, 5-0.

Cristiana Girelli meledak hatrik dalam kemenangan itu, namun jaringan pertamanya mencetus kontroversi apabila Sydney Schneider menyelamatkan sepakan penaltinya yang lemah, namun aksi menyelamat itu dibatalkan berikutan penjaga gol berkenaan didapati sudah melepasi garisan pintu gol dan dia gagal menampan tendangan semula itu.

Girelli kemudiannya menggandakan jaringannya sebelum menjadi pemain Itali kedua untuk menyumbat hatrik dalam Piala Dunia apabila mengambil kesempatan daripada kesilapan Schneider.

Di Le Havre, England menyusuli jejak Itali menerusi kemenangan 1-0 ke atas Argentina yang menyaksikan Jodie Taylor menamatkan penantiannya selama 430 hari untuk meraikan gol antarabangsa.

Penjaga gol Argentina, Vanina Correa, menjadi nadi pasukannya apabila menyelamatkan sepakan penalti Nikita Parris selain deretan peluang menarik lagi.

Begitupun, ketangkasan Correa itu berakhir pada minit ke-61 -- Taylor berada di tempat dan masa yang tepat untuk menyambut hantaran silang Beth Mead untuk menghantar skuad bimbingan Phil Neville itu ke pusingan seterusnya.