Zlatan Ibrahimovic mendapat pengaruh besar di Amerika Syarikat sejak membuat perpindahan ke L.A. Galaxy dan dia kelihatan bersedia untuk kembali ke pentas antarabangsa untuk membantu Sweden dalam Piala Dunia.

"Maksud saya, Piala Dunia tanpa saya tidak akan menjadi Piala Dunia," kata Ibrahimovic dalam satu temubual rancangan komedi, Jimmy Kimmel Live, semalam.

Ketika ditanya adakah dia akan bermain dalam Piala Dunia, Ibrahimovic bersikap malu-malu, dengan mengatakan dia akan pergi ke pertandingan itu, namun tidak pasti sama ada bermain atau sebaliknya.

"Saya hanya berkata saya akan ke Piala Dunia," kata Ibrahimovic. "Jika saya mengatakan lebih banyak, orang akan hukum saya, jadi saya perlu berhati-hati dengan apa yang saya katakan sekarang.

"Di Eropah, bola sepak adalah besar. Jadi, ke mana sahaja saya pergi ... orang akan gila," kata Ibrahimovic. "Orang berkata kepada saya, 'Apabila kamu sampai ke Los Angeles, jangan risau. Kamu boleh berjalan di tempat awam.'

"Tetapi sejak hari pertama, tidak, ia sibuk di mana-mana. Ia adalah kesilapan saya -- maksud saya, jika kamu bermain seperti saya."

Ibrahimovic pulih daripada kecederaan lutut serius ketika peringkat akhir kelayakan Piala Dunia tetapi dia dilihat menyokong rakan sepasukannya apabila mereka mengejutkan Itali untuk mara ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Walaupun berusia 36 tahun, Ibrahimovic kekal sebagai penyerang paling berbisa dalam bola sepak dan kehadirannya pasti akan dialu-alukan Sweden.