Peru menamatkan penantian selama 36 tahun untuk layak ke Piala Dunia selepas membenam New Zealand 2-0 dalam aksi play-off antara benua di Lima, sebentar tadi.

Pertembungan play-off itu menemukan pasukan dari Amerika Selatan (CONMEBOL) dan juara zon Oceania dengan pertemuan pertama di Wellington berakhir tanpa jaringan.

Bagaimanapun, Peru membuktikan keampuhan mereka di depan lautan merah penyokong di Estadio Nacional hasil sentuhan pemusnah penyerang veteran, Jefferson Farfan dan Christian Ramos, untuk melengkapkan senarai 32 pasukan yang akan memeriahkan pusingan akhir temasya Russia 2018.

Farfan terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-28 -- gol ke-23 peribadinya di peringkat antarabangsa -- menerusi rembatan yang gagal dikekang penjaga gol All Whites, Stefan Marinovic.

Peru menghampiri Piala Dunia sejak 1982 apabila pertahanan tengah, Christian Ramos, menolak masuk gol kedua selepas sejam permainan dilangsungkan, sekaligus mengesahkan cuti peristiwa kepada negara itu esok.

Selepas kehilangan penjaring terbanyak, Paolo Guerrero, akibat gagal ujian doping, Peru membuat tiga pertukaran dalam kesebelasan utama. Andre Carrillo, Yoshimar Yotun dan Aldo Corzo digugurkan untuk memberi ruang kepada Andy Polo, Raul Ruidiaz dan Luis Advincula.

Pengendali All Whites, Anthony Hudson, membuat dua pertukaran selepas pemain berpengalaman, Andrew Durante, dimasukkan bagi menggantikan pertahanan, Tommy Smith, yang tercedera sementara perancang, Marco Rojas, turut diletakkan di bangku simpanan dan pemain Marseille, Bill Tuiloma, diberi kepercayaan.

Bintang Burnley, Chris Wood, bagaimanapun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian berikutan masalah kecergasan.

Peru menggunakan kelebihan suasana di Lima untuk menguasai permainan apabila Advincula berpeluang menguji kubu pelawat seawal minit ketiga.

Permainan menjadi berat sebelah sejak awal permainan menerusi semangat juang tinggi Peru manakala New Zealand sempat mendakwa bola terkena tangan pemain lawan di dalam kotak penalti sebelum pintu gol mereka dirobek oleh Farfan dan penggempur itu hampir menjaringkan gol keduanya, tidak lama kemudian.

Kemasukan Wood sempat mencemaskan Peru, namun harapan skuad Kiwi itu untuk bangkit musnah pada minit ke-65 apabila gagal mengambil kesempatan dalam situasi kelam-kabut di depan kubu lawan untuk anak buah Ricardo Gareca itu meraikan kejayaan besar.


Senarai 32 pasukan ke Piala Dunia Russia 2018 (ranking dunia dalam kurungan):

Eropah: Russia (layak selaku tuan rumah, ranking dunia: 65), Perancis (7), Portugal (3), Jerman (1), Serbia (38), Poland (6), England (12), Sepanyol (8), Belgium (5), Iceland (21), Switzerland (11), Croatia (18), Sweden (25), Denmark (19)

Amerika Selatan: Brazil (2), Uruguay (17), Argentina (4), Colombia (13), Peru (10)

Afrika: Nigeria (41), Mesir (30), Maghribi (48), Tunisia (28), Senegal (32)

Amerika Tengah: Mexico (16), Costa Rica (22), Panama (49)

Asia: Iran (34), Jepun (44), Korea Selatan (62), Arab Saudi (63), Australia (43)