Mohamed Salah akan diketepikan tidak lebih daripada tiga minggu akibat kecederaan bahu yang dialaminya semasa kekalahan 3-1 Liverpool kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara Eropah, demikian pengesahan dibuat Persatuan Bolasepak Mesir (EFA).

Status penyertaan Salah dalam Piala Dunia di Russia bulan depan menjadi tanda tanya selepas dia terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-30 di Kiev akibat direntap jatuh oleh kapten Madrid, Sergio Ramos.

Selepas perlawanan, jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp, memberitahu wartawan bahawa dia berasakan pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris itu mungkin berhempas-pulas untuk pulih bagi kejohanan itu tetapi Salah kemudian mengatakan dia "yakin" boleh beraksi.

EFA hari ini mengeluarkan kenyataan selepas presidennya, Hani Abu Reda; ketua jurulatih, Hector Cuper, dan doktor pasukan kebangsaan, Mohamed Abu El-Ela, berlepas ke Valencia untuk melihat sendiri proses rawatan dan pemulihan Salah di bandar Sepanyol itu.

Kenyataan itu menggambarkan pemain berusia 25 tahun berkenaan mempunyai "keazaman" untuk bersama rakan sepasukannya: "Bagi pihaknya, Mohamed Abu El-Ela berkata bahawa tempoh ketiadaan Salah akibat kecederaan tidak akan lebih tiga minggu. "

Mesir akan memulakan kempennya dalam Kumpulan A dengan menentang Uruguay di Ekaterinburg pada 15 Jun -- betul-betul tiga minggu dari tarikh kekalahan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara.

Ini bermakna Salah masih perlu mengejar masa untuk kejohanan itu tetapi jurulatih veteran, Cuper, menganggap senario itu tidak menjejaskan persediaan pasukannya bagi menghadapi aksi peringkat kumpulan yang turut dihuni tuan rumah, Russia, dan Arab Saudi.

"Walaupun dengan kecederaan Salah, saya masih mempunyai harapan dan aspirasi yang sama. Saya tidak boleh berputus asa," katanya dalam sidang akhbar di kem latihan pra-kejohanan Mesir di Bergamo, Itali.

"Kecederaan berlaku dalam bola sepak tetapi dengan semangat dan cita-cita kami, kami yakin dengan keupayaan kami untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi."

Salah menjaringkan 44 gol dalam kemunculan pertamanya di Liverpool selepas berpindah dari Roma tahun lalu, sementara jaringan penaltinya pada Oktober mengesahkan kemenangan 2-1 ke atas Congo untuk membawa Mesir melayakkan diri buat kali pertama dalam Piala Dunia sejak 1990.