UKRAINE 3 KOREA SELATAN 1

Vladyslav Supriaha muncul pencetus kejayaan Ukraine untuk menjulang trofi Piala Dunia Bawah 20 Tahun buat julung kalinya dengan meledak dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Korea Selatan di Lodz, Poland, awal pagi tadi.


Ukraine ketinggalan ketika permainan baru berusia lima minit apabila Lee Kang-in menyempurnakan sepakan penalti tetapi jaringan Supriaha dalam setiap babak selain sentuhan pemusnah Heorhii Tsitaishvili menyempurnakan kebangkitan mereka.

Perlawanan akhir di Lodz itu menampilkan dua finalis yang membuat kemunculan pertama.

Korea Selatan terlebih dahulu mencemaskan lawan apabila dianugerahkan penalti selepas video bantuan pengadil (VAR) memutuskan Kim Se-yun telah dikasari.

Begitupun, kebangkitan Ukraine bermula apabila Supriaha menghukum kealpaan pertahanan lawan pada minit ke-34 sebelum menokok gol kedua Ukraine dalam babak berikutnya ekoran kesilapan Kim Hyun-woo.

Ukraine perlu berterima kasih kepada penjaga gol Real Madrid, Andriy Lunin, yang memastikan mereka terus mendahului apabila menepis keluar tandukan Lee Jae-ik.

Tsitaishvili menjaringkan gol ketiga, seterusnya melengkapkan kejayaan skuad Oleksandr Petrakov itu yang menyingkirkan Panama, Colombia dan Itali dalam laluan ke final.