Malaysia tidak mencari 'tiket percuma' untuk beraksi dalam Piala Dunia menerusi cadangan negara-negara ASEAN membida hak penganjuran bersama Piala Dunia 2034.

Perkara ini ditegaskan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kerana baginya untuk membida bukan satu perkara yang mudah memandangkan keperluan dan syarat yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai hos adalah tinggi.

"Idea itu (bida sebagai hos bersama) bagus tapi ia bukan hendak cari jalan mudah untuk layak ke Piala Dunia. Tapi mungkin ada netizen beranggapan FAM tidak mampu masuk (Piala Dunia) secara merit, jadi cuba hendak masuk dengan cara menjadi hos.

"Kalau dengan cara ini, saya sendiri pun tidak teruja (untuk bida). Idea daripada (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, itu bagus untuk ekonomi dan ASEAN," katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Sementara itu, Hamidin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyokong penuh usaha FAM bersama-sama kerajaan untuk membida Piala Dunia 2034.

Sokongan itu disampaikan ketika Hamidin menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara, Jumaat lau.

Dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-34 di Bangkok, 23 Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jeneral Prayuth Chan o-cha, berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama dalam usaha membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Dr Mahathir dalam sidang kemuncak itu juga dipetik sebagai berkata usaha tersebut mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan.

Beliau berkata keputusan negara ASEAN untuk membangunkan usaha tersebut mampu memberi laluan kepada rantau ini sebagai penganjur kejohanan sukan terbesar di dunia itu.

-- BERNAMA