Usaha ASEAN untuk membida penganjuran Piala Dunia 2034 mendapat sokongan penuh kesemua 10 ketua negara, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok, Thailand, semalam.

Thailand, Vietnam dan juga Indonesia merupakan tiga anggota negara ASEAN yang paling lantang berhasrat membawa Piala Dunia ke rantau ini pada 2034.

Cadangan untuk membida Piala Dunia yang diusulkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN itu mendapat sokongan semua ketua-ketua negara.

Dr Mahathir berpendapat gabungan berkenaan mampu untuk merealisasikan impian itu.

Bagi beliau, impian berkenaan hanya akan menjadi kenyataan sekiranya negara-negara mereka bekerjasama dan Malaysia akan sentiasa menyokong usaha untuk membawa kejohanan berprestij itu.

"Perkara ini disuarakan lima negara ASEAN dan kami fikir Malaysia tidak akan berpeluang untuk menganjurkan Piala Dunia.

"Tetapi mungkin dengan gabungan negara ASEAN, kita boleh menganjurkannya.

"Sudah tentu kita berkemampuan menganjurkan perlawanan itu di ASEAN sepertimana (yang dilakukan) Jepun dan Korea Selatan," ujar beliau.