Samuel Eto'o, salah seorang pemain yang menghiasi bola sepak dunia, secara rasminya menyertai Jawatankuasa Tertinggi Penyampaian dan Legasi (SC) -- sebuah organisasi yang bertanggungjawab ke atas infrastruktur Piala Dunia Qatar 2022 dan program yang berkaitan dengannya -- apabila akan bertindak sebagai duta globalnya.

Eto'o telah memenangi 15 gelaran utama sepanjang kerjayanya yang penuh gemilang -- merangkumi tiga gelaran Liga Juara-Juara (UCL), empat gelaran liga di Itali dan Sepanyol dan satu trofi Piala Dunia Kelab.

Sehubungan itu, dia menyertai Xavi Hernandez dan Mohammed Saadon Al Kuwari sebagai duta rasmi SC.

Bekas penggempur itu sempat mewakili Cameroon sebanyak 118 kali, termasuk empat penampilan dalam Piala Dunia di antara 1998 dan 2014.

Pada Ogos 2018, dia menyertai QNB Stars League, Qatar Sports Club, dan pantas berasakan suasana negara tuan rumah Piala Dunia 2022 itu seperti di laman sendiri. Dalam satu majlis yang turut ditemani Setiausaha Agung SC, Hassan Al Thawadi, dia secara rasminya menjadi sebahagian daripada perjalanan menuju temasya 2022.

Sejurus pengesahan tersebut, pemenang empat kali Pemain Terbaik Afrika itu berkata: "Ia satu penghargaan buat saya dilantik sebagai duta SC dan saya berharap dapat memenuhi harapan yang diletakkan ke atas saya.

"Piala Dunia adalah kejohanan terbesar dalam bola sepak -- tiada yang lebih besar lagi -- dan saya fikir tiada apa yang lebih indah daripada berpeluang beraksi dalam Piala Dunia."

Eto'o meneruskan: "Bola sepak melangkaui politik dan adalah penting bola sepak mengembara ke serata dunia -- ia satu kekuatan sosial yang luar biasa.

"Ia membawa kesan dalam kehidupan kita walaupun ada orang yang tidak menyukai bola sepak -- kita sentiasa memberikan perhatian kepada bola sepak dan saya gembira melihat Qatar akan menganjurkannya selama sebulan dan Qatar juga akan menjadi wajah kepada negara Timur Tengah."



Dengan tumpuan khusus diberikan kepada projek kebajikan pekerja, Eto'o akan bersama-sama SC melalui penyampaian dan pelaksanaan inisiatifnya demi penganjuran Piala Dunia yang cemerlang dan memastikan warisan kejohanan ini bertahan lama dan dapat pergi jauh.

Penyerang legenda itu, yang membuat kemunculan pertama dalam Piala Dunia melalui edisi 1998 pada usia 17 tahun tiga bulan, turut mencetuskan impak di luar aksi profesional. Pada 2017, dia dinobatkan Duta Pendidikan Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Cameroon.

Di samping itu, pada Mac 2006, Eto'o melancarkan Yayasan Samuel Eto'o dan sejak itu, dia membina sekolah bola sepak di seluruh Afrika dengan matlamat untuk menggalakkan anak-anak muda mendapat kemudahan sukan bagi mengasah kemahiran mereka sambil menyediakan rangka kerja yang diperlukan untuk mereka meneruskan pengajian.

Yayasan itu juga menyediakan peluang-peluang penjagaan kesihatan dan sosial.

Mengenai keghairahannya untuk menggunakan kuasa bola sepak untuk mempengaruhi perubahan sosial yang positif, Eto'o menambah: "Ia sentiasa membuatkan saya berasa rendah diri dengan mengetahui hakikat bahawa saya telah membawa senyuman ke wajah seseorang dengan sedikit usaha. Apa yang kelihatan tidak baik kepada kita, boleh jadi sangat bermakna kepada orang lain.

"Saya berkata kepada diri saya, saya harus berkongsi pengalaman yang ada, khususnya di peringkat akar umbi di Cameroon dan di Afrika secara amnya. Saya berkemampuan untuk menubuhkan sekolah bola sepak yang akan membolehkan beberapa pemain muda mengatasi beberapa rintangan yang bakal mereka tempuhi di Eropah.

"Inilah sebabnya saya terlibat dengan projek sebegini dan ia menggembirakan saya setiap hari.

"Saya gembira kerana mempunyai beberapa pemain yang kini mewakili beberapa kelab terbesar di Eropah. Ia membanggakan saya melalui yayasan ini dan mereka yang sentiasa menyokong saya juga memainkan peranan besar dalam memberikan belia-belia ini peluang seumpama ini."

Mengulas mengenai pengumuman tersebut, Al Thawadi mengalu-alukan kehadiran Eto'o.

Beliau berkata: "Samuel adalah salah seorang pemain bola sepak paling berjaya dalam sejarah dan kami mengalu-alukannya untuk menyertai kami dalam perjalanan yang unik ini.

"Dengan kejayaan luar biasanya di lapangan, apa yang menjadikan Samuel sebagai individu yang luar biasa ialah komitmen yang ditunjukkannya. Dia menggunakan pengaruhnya untuk membawa perubahan positif di luar lapangan.

"Kami sentiasa berpegang teguh dengan komitmen bagi memastikan kesan temasya selama 28 hari ini lebih daripada sekadar aksi di padang, bahkan akan merentasi dunia Arab dan seterusnya, buat generasi yang akan datang.

"Saya yakin bahawa bekerja di samping seseorang yang berkaliber, dihormati dan karakter seperti yang ditonjolkan Samuel boleh membantu kami untuk bersama-sama mencapai matlamat ini."