Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, enggan terjebak dengan kesukaran lampau.

Aksi play-off Piala Dunia 2022 bertemu Timor Leste perlu disudahkan dengan kelebihan buat negara mara ke peringkat kelayakan kumpulan.

Dalam empat aksi terdahulu sejak 2015, Malaysia terpaksa berhempas-pulas untuk memastikan kemaraan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan play-off Piala Asia 2019.

Biarpun di atas kertas, kelebihan masih memihak kepada skuad kebangsaan, itu bukan ukuran tepat untuk menilai kualiti sebenar skuad Timor Leste ketika ini.

"Mungkin bagi pasukan di ranking rendah ini, mereka tidak akan rugi apa-apa dalam pertemuan ini dan akan turun menikmati perlawanan ini.

"Bagaimanapun, dalam masa yang sama, pemain Malaysia perlu lebih fokus dan usah terlalu yakin kerana mereka boleh mengejutkan kami dan sebaik kami menyedarinya, ia sudah pun terlambat," ujarnya.

Tambah Cheng Hoe, Malaysia tiada pilihan selain menjamin kemenangan selepas undian di Rumah AFC, Kuala Lumpur, hari ini memenuhi impian negara untuk berdepan Brunei atau Timor Leste yang dilabel sebagai halangan mudah.

Situasi Timor Leste yang kehilangan sembilan pemain naturalisasi dari Brazil sejak 2016 antara perkara yang memudahkan lagi urusan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan.

"Dalam Piala AFF 2018, Timor Leste mempamerkan aksi berbahaya daripada segi serangan mereka.

"Kehadiran beberapa pemain naturalisasi juga akan membakar semangat Timor Leste," katanya.