THAILAND 0 URUGUAY 4

Thailand yang mengejutkan ramai dengan kemaraan ke final Kejohanan Bolasepak Piala China, kesudahannya terpaksa akur dengan kejaguhan skuad utama Uruguay malam tadi.


Dalam laluannya ke peringkat kemuncak itu, Thailand menimbulkan kejutan dengan menyingkirkan skuad utama China kendalian Fabio Cannavaro dalam separuh akhir tetapi mendapati Uruguay yang dibimbing Oscar Tabarez terlalu ampuh di Stadium Pusat Sukan Guangxi.

Matias Vecino dan Gaston Pereiro menyumbang jaringan sebelum rehat separuh masa untuk barisan Uruguay itu – tanpa Luis Suarez dan Edinson Cavani yang cedera – dalam kedudukan selesa untuk mengukir kemenangan di Nanning.

Penyerang, Cristhian Stuani, menambah gol ketiga selepas rehat untuk berkongsi selaku penjaring terbanyak dengan Maxi Gomez.

Uruguay, yang terdahulu meraih pendahuluan awal dalam kemenangan 3-0 ke atas Uzbekistan di peringkat separuh akhir, mengulanginya selepas hanya enam minit.

Nicolas Lodeiro membuka laluan buat jaringan Pereiro dan sekali lagi berperanan pencipta dengan sepakan sudut yang ditanduk masuk oleh Vecino.

Chanathip Songkrasin pula menyepak liar sebagai menyudahi satu serangan balas Thailand tapi Uruguay menambah gol kedua sebelum rehat, dengan Stuani menggelecekkan beberapa pemain pertahanan untuk melorongkan umpanan yang mudah ditolak masuk Pereiro dari jarak dekat.

Siwarak Tedsungnoen kemudian menyelamatkan satu percubaan Stuani awal dalam babak kedua tapi daripada sepakan sudut yang diraih, Uruguay mendapat gol ketiga apabila penyerang Girona itu menanduk masuk lambungan daripada Giorgian De Arrascaeta.

Uruguay terus menggandakan asakan yang antaranya menyaksikan penjaga gol gantian, Chatchai Budprom, tangkas menyelamatkan satu percubaan rendah Lucas Torreira.

Peeradon Chamratsamee kecewa melihat satu percubaan lewatnya diselamatkan Fernando Muslera, ditambah pula dengan satu rembatan deras Gomez yang terbias masuk untuk gol keempat Uruguay.

Kesudahannya, Uruguay tampil juara sambil Thailand memukau perhatian ramai dengan keupayaannya untuk mara ke perlawanan akhir.