UKM 1 JDT II 1

Tiada bekalan selesa sama ada buat Johor Darul Ta'zim (JDT) II mahupun UKM FC apabila kedua-dua pasukan sekadar seri 1-1 dalam saingan separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.


UKM turun selaku tuan rumah melayan kunjungan JDT II di Cheras. Aksi dalam babak pertama berlangsung menarik dengan JDT II tampak lebih menampilkan asakan ke arah kubu pertahanan UKM menerusi jentera serangan yang dibarisi S. Kumaahran dan Darren Lok.

Gol yang dinanti akhirnya menjelma pada minit ke-15 hasil sentuhan Kumaahran yang membenarkan JDT II mendahului permainan.

Bersambung dalam babak kedua, UKM kembali memperkemaskan corak permainan dengan berjaya mengawal bahagian tengah dengan baik. Tekanan demi tekanan akhirnya membuahkan hasil apabila UKM dihadiahkan sepakan penalti selepas ketua pasukan UKM, Hasnan Ahmad, dijatuhkan pertahanan JDT II.

Pemain import UKM, Miechael Chukunguna, tenang menyempurnakan sepakan, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan separuh akhir kedua di Pasir Gudang bakal menjadi perhitungan buat kedua-dua pasukan bagi memburu slot ke final dalam edisi sulung Piala Cabaran.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir pertama, ATM tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) II di Stadium UiTM Shah Alam.

Dua jaringan pantas daripada Andrew Jean-Baptiste dan Bruno Suzuki memberikan kelebihan buat skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu untuk aksi timbal balik dan selangkah untuk mara ke final.