TERENGGANU FC II 2 UKM FC 2

Tandukan pemain gantian, Faiz Hanif Adnan, dua minit sebelum tamat menyelamatkan UKM FC dari ambang kekalahan untuk mengikat Terengganu FC (TFC) II 2-2 dalam aksi Piala Cabaran di Kuala Terengganu, sebentar tadi.


UKM FC yang memulakan sepak mula terlebih dahulu mencemaskan tuan rumah menerusi tandukan Hafizi Amiruddin pada minit ke-10 yang sipi ke sebelah kiri pintu gol lawan.

Serangan itu gagal diteruskan skuad Varsity Boys sebaliknya TFC II diberikan sepakan penalti selepas tandukan Mohd Hasbullah Awang mengenai tangan K. Rueben.

Penyerang Brazil, Bruno Suzuki, tidak melakukan kesilapan dari jarak 12 ela dengan mudah menghantar penjaga gol, Amin Faisal Saidi, ke arah bertentangan pada minit ke-21.

Amin Faisal mengutip bola dari dalam jaringnya buat kali kedua ketika setengah jam usia permainan apabila ledakan jarak jauh Derchi Marcel berjaya menemui sasaran.

Mendahului 2-0, TFC II berkubu di kawasan sendiri selepas rehat sekaligus membenarkan UKM FC melancarkan serangan dan hasilnya mereka merapatkan kedudukan.

Pemain import kelahiran Iran, Milad Mansour, menjadi penjaring gol UKM FC pada minit ke-55 apabila menyudahkan hantaran satu dua bersama Mateo Roskam.

Kemasukan Ashari Samsudin hampir membuahkan hasil buat TFC II menyaksikan lorongannya yang disambar Takhiyuddin Roslan (m-61) sekadar menggegar palang.

UKM seharusnya menyalahkan diri sendiri dengan dua peluang keemasan Roskam (m-75) serta Mansour (m-78) dari dalam kotak penalti diselamatkan Mohd Sharmiza Yusoff.

Ketika TFC II berkira-kira untuk mengutip mata penuh, Faiz Hanif memiliki idea sebaliknya apabila tandukannya menerjah jaring dan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat.

Namun, keputusan itu menyaksikan UKM masih mencari kemenangan pertama dalam sembilan pertemuan dengan TFC II setelah lima kekalahan dan empat kali seri direkodkan sejak musim lalu.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)