Skuad Terengganu FC (TFC) II tidak menganggap ATM sebagai lawan mudah menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium UiTM, Shah Alam, malam esok.

Menurut pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan, walaupun pasukan lawan beraksi atas tiket pasukan jemputan, dia tidak mahu pemain-pemainnya menutup sebelah mata terhadap cabaran diberikan ATM.

Malah, kemampuan ATM menumpaskan dua pasukan Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim (JDT) II dan UiTM FC di peringkat kumpulan jelas perlu diawasi pasukan bimbingannya.

"Apabila sudah sampai ke peringkat separuh akhir, mana-mana pasukan pun akan turun dengan semangat luar biasa.

"Walaupun ATM beraksi tanpa pemain import, tiada pasukan pilihan dan keputusan perlawanan memang sukar untuk dijangka," jelas bekas ketua pasukan kebangsaan itu.

Sementara itu, Tengku Hazman mengakui masih tidak berpeluang menurunkan kesebelasan terbaik sejak mengambil alih pasukan itu akibat masalah kecederaan.

Mengakui mahu mencorakkan rentak permainan mengikut acuannya, dia menyifatkan jentera serangan diketuai Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Junichi Suzuki perlu lebih tajam untuk membawa bekalan selesa.

"Secara keseluruan, memang saya berpuas hati, namun sekiranya gagal menyempurnakan peluang terhidang, kami akan dihukum pasukan lawan," ujar Tengku Hazman.