TFC II 1 SARAWAK 0

Terengganu FC (TFC) II mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Cabaran selepas menumpaskan Sarawak 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Tuan rumah bermula garang dengan usaha Bruno Junichi Suzuki pada minit ketujuh mula mencemaskan Sarawak sebelum percubaan kencang Akanni Sunday Wasiu (m-14) dari luar kotak penalti tersasar ke sebelah tepi.

Penjaga gol, Shaiful Wazizi Mohamad, kemudian cemerlang menyelamatkan gawang Sarawak apabila menafikan rembatan Akanni Sunday pada minit ke-17 dan Haidhir Suhaini seminit selepas itu.

Sarawak cuba mengimbangi permainan menerusi sepakan jarak jauh Benedict Martin pada minit ke-27, namun sekadar tinggi melepasi pintu gol TFC II.

Pada minit ke-33, TFC II hampir dikejutkan kem pelawat yang menyaksikan tandukan kemas Abdul Rahim Abdul Razak berpunca daripada hantaran lintang Jimmy Raymond berjaya ditepis Mohd Sharmiza Yusoff.

Bersambung babak kedua, asakan bertali arus TFC II membuahkan hasil selepas percubaan Sebastian Thurier mengenai Shahrin Sapien dan mengelirukan penjaga gol lawan, sekali gus memecahkan kebuntuan pada minit ke-51.

Tonggak import TFC II, Suzuki, berpeluang menggandakan jaringan tetapi dua usahanya pada minit ke-53 dan 57 digagalkan Shaiful Wazizi sebelum tolakan Akanni Sunday (m-79) mengenai tiang.

Berkunjung ke Kuala Terengganu dengan skuad tempang, Sarawak akur dengan malam yang serba tidak menjadi manakala TFC II terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 1-0 sehingga wisel penamat.