Piala Cabaran: Kuala Lumpur raih kemenangan sulung

Oleh Bernama 16 Ogos 2019 383
Piala Cabaran: Kuala Lumpur raih kemenangan sulung
Pasukan Liga Super, Kuala Lumpur, meraih kemenangan sulung dalam saingan Piala Cabaran selepas mengatasi Selangor United 3-1 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Bagaimanapun, kemenangan tersebut tidak mengubah kedudukan Kuala Lumpur yang kekal menghuni tangga ketiga daripada empat pasukan dalam Kumpulan B dengan kutipan tiga mata selepas dua perlawanan.

Dalam aksi di Cheras itu, pemain import dari Brazil, Paulo Josue, meledak gol pembukaan pada minit ke-13 menerusi sepakan percuma menarik yang menerjah gawang Selangor United sebelum dia mencipta gol peribadi kedua pada minit ke-39 setelah mudah menolak masuk sepakan percuma yang diambil Muhammad Irfan Zakaria.

Namun, Selangor United merapatkan defisit jaringan pada minit ke-79 menerusi Nurshamil Abd Ghani yang bijak membuat satu sepakan lambung untuk menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuean Kamaruddin.

Josue mengesahkan tiga mata sulung untuk skuad Warga Kota itu setelah meledak jaringan hatrik menerusi sepakan percuma dalam masa kecederaan babak kedua perlawanan dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga perlawanan tamat.

"Setelah hampir lapan perlawanan tanpa kemenangan, ini satu motivasi buat pasukan. Walaupun daripada segi persembahan saya tidak begitu berpuas hati, apa yang penting adalah tiga mata," ujar pengendali Kuala lumpur, Roslee Md Derus.

"Saya yakin jika mereka mengekalkan prestasi seperti dalam perlawanan ini, kami akan berpeluang mencipta sejarah mara ke separuh akhir. Insya-Allah, masih ada empat perlawanan," kata ketua jurulatih Selangor United, Talib Sulaiman.

-- BERNAMA
 

Tentang Penulis

Bernama

Komen