Ervin Boban mengakui kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC (TFC) II dalam separuh akhir pertama Piala Cabaran malam tadi bukan bekalan selesa untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Pengendali JDT II itu berkata dia masih menjangkakan tentangan sengit untuk aksi timbal balik di Pasir Gudang walaupun memiliki kelebihan dua gol dari tempat lawan.

Menurut Boban yang juga penyerang prolifik Johor era lewat 80-an, adalah menjadi kesilapan dan masalah besar buat JDT II sekiranya mereka menganggap sudah menempah slot ke final.

"Aksi kedua nanti tentunya lebih sukar kerana TFC II akan menambah tekanan untuk mendapatkan jaringan.

"Saya tidak nampak mereka akan menyerah kalah dan jika pemain-pemain fikir kami sudah layak, masalah besar menanti JDT II," jelas Boban.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi, JDT II terlebih dahulu ketinggalan hasil jaringan penyerang tuan rumah, Bruno Suzuki, pada minit ke-60.

Kemasukan Darren Lok membuahkan hasil selepas bekas penyerang negara itu mengikat kedudukan pada minit ke-65, disusuli tandukan kemenangan S. Kumaahran pada minit ke-83.

"Darren memberikan impak berkesan setelah kami agak bergelut untuk menembusi kubu TFC II dari sebelah kiri

"Saya gembira pemain-pemain menunjukkan karekter untuk bangkit daripada ketinggalan, seterusnya membawa kelebihan dua gol," kata Boban.