Peluang UKM FC menoktahkan kemenangan dalam penampilan kedua di pentas final Piala Cabaran tampak sukar apabila Johor Darul Ta'zim (JDT) II bakal menggunakan khidmat dua pemain skuad utama.

JDT II melucutkan gelaran juara bertahan, Terengganu FC II, 2 September lalu dalam aksi separuh akhir, sekali gus menyaksikan mereka bertemu UKM di pentas final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, esok.

Ujian getir menanti UKM -- yang tewas 1-0 dalam aksi pertama -- apabila lawannya itu bakal menerima kehadiran Fadhli Shas dan Hazwan Bakri tetapi kapten, Asnan Ahmad, yakin masih ada peluang buat pasukannya selepas mempamer prestasi memberangsangkan dalam aksi pertama di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebelum ini.

"Saya akui mereka pemain berpengalaman. Mungkin ia akan menambah kekuatan JDT tetapi kami pernah berdepan Pahang dalam Piala FA. Tiada masalah, kami boleh lakukan dan mengatasi mana-mana pasukan berpengalaman," katanya.

Sementara itu, penolong jurulatih UKM, Juzaili Samion, enggan menyalahkan mana-mana pemain selepas gagal membawa pulang bekalan gol ke Cheras.

"Pasukan ini sudah mencipta sejarah, mara ke final buat kali kedua. Saya rasa ia lebih manis jika dapat membawa pulang trofi. Insya-Allah, dalam bola sepak, banyak kemungkinan boleh berlaku," ujar bekas pemain Pahang itu.