Selepas muncul naib juara kategori bawah 11 tahun (B-11) Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia tahun lalu, skuad Media Mix Team (MMT) Junior kini kembali untuk memburu kejuaraan bagi edisi kali ini yang bermula di Stadium Penampang, esok.

Pada tahun ini, MMT Junior bakal bersaing dalam dua kategori, iaitu B-11 dan B-12, dengan hanya menggunakan satu pasukan yang kebanyakannya berusia 11 tahun.

Pemain-pemain yang ditampilkan MMT Junior kali ini datangnya dari sekitar pedalaman Sabah selain beberapa pemain dari Kota Kinabalu dan Penampang.

Pengurus pasukan, Gideon Gadit, berkata kehadiran mereka ke pertandingan itu tahun ini adalah untuk menebus kekecewaan apabila tewas dalam final kepada pasukan dari Filipina, Dreaming Football.

"Sudah pastinya kami mahukan kejuaraan selepas kecewa tahun lalu tapi saya jangkakan laluan kami kali ini lebih sukar.

"Saya melihat saingan bertambah sengit tahun ini dengan kehadiran pasukan dari Filipina, Australia, Indonesia, Sarawak, Kuala Lumpur dan beberapa pasukan tempatan.

"Bagaimanapun, kami lebih bersedia tahun ini selepas kali pertama menyertainya tahun lalu. Saya juga berterima kasih kepada pihak-pihak yang menyokong kami, khususnya penaja," katanya.

Tambah Gideon, mereka terpaksa hanya menggunakan seramai 23 pemain untuk dua kategori (B-11 dan B-12) untuk kejohanan itu kerana pemain yang berusia 12 tahun sedang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

MMT Junior akan bersaing dalam kumpulan B, B-11 bersama-sama dengan pasukan Kuala Lumpur FC, JP Voltes (Filipina) dan Tabs Manggatal (Sabah).

Kumpulan A bagi kategori itu pula terdiri daripada pasukan St George City (Australia), Astam SS (Indonesia), Claret School (Filipina) dan Burnmarks United (Malaysia).

Sementara itu, bagi kategori B-12, MMT Junior akan bersaing dengan lima pasukan lain, iaitu Northern Inland Football (Australia), Dreaming Football (Filipina), SBAI (Indonesia), Tunku Putra FC (Sarawak) dan SK Malawa (Sabah).

Kategori B-12 yang bermula Selasa depan akan diadakan secara liga satu pusingan dengan dua pasukan di tangga teratas akan menentukan kejuaraan selepas itu.