Pasukan MMT Junior 'mengganas' pada hari pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia 2017 B-11 apabila mencatat kemenangan besar 9-0 ke atas Kid Ball di Stadium Penampang, hari ini.

Skuad dibarisi pemain daripada pedalaman Sabah yang berlatih bersama Akademi Tunas Keningau dengan beberapa pemain dari sekitar Kota Kinabalu itu kini mendahului kumpulan B dengan enam mata selepas turut mencatat kemenangan 2-1 dalam perlawanan pertama bertemu TABS Menggatal.

Bagaimanapun, pasukan yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan edisi ke-10 itu kini berkongsi sama mata dengan pasukan dari Filipina, Dreaming Football United, dan hanya mendahului menerusi perbezaan jaringan.

Terdahulu, Dreaming Football United turut memenangi dua perlawanan awal mereka dalam peringkat kumpulan menewaskan TABS Menggatal 5-1 serta Kid Ball 3-1.

Sementara itu, pasukan dari Indonesia, Astam SS, mengungguli Kumpulan A selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan menewaskan pasukan dari Australia, Caloundra, 2-0 dan TABS3-0.

Walaupun tewas kepada Astam SS, Caloundra kini berada di kedudukan kedua selepas menundukkan Jubilo 5-0 dalam aksi kedua mereka, namun pasukan itu turut berkongsi mata dengan TABS yang menang 2-0 ke atas Jubilo dalam aksi pertama mereka.

Perlawanan peringkat kumpulan akan bersambung esok dengan kesemua pasukan akan mengharungi perlawanan terakhir sebelum menentukan tempat ke pusingan separuh akhir, juga akan berlangsung petang esok.