Pasukan dari Malaysia, MMT Junior, bakal berentap dengan Dreaming Football United dari Filipina dalam final kategori Gold, Kejohanan Bola Sepak Piala Borneo Malaysia 2017 B-11 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, petang esok.

Ia adalah pertemuan kedua mereka, dengan MMT Junior pastinya mahu membalas dendam terhadap kekalahan 0-2 kepada Dreaming Football dalam peringkat kumpulan sebelum ini.

Terdahulu, MMT Junior yang dibarisi pemain dari pedalaman Sabah serta beberapa lagi dari Kota Kinabalu, melangkah ke final selepas menewaskan pasukan dari Indonesia, Astam SS, 2-0 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Penampang, petang tadi.

Dreaming Football pula mengekalkan rekod cemerlang dalam kejohanan ini selepas menundukkan pasukan dari Australia, Caloundra, 2-1 di peringkat separuh akhir.

Dalam pada itu, perlawanan akhir kategori Silver pula menyaksikan pertemuan dua pasukan dari Malaysia, iaitu TABS yang akan berdepan dengan Jubilo.

TABS, yang berpengkalan di Kota Kinabalu, mara ke final kategori Silver selepas menewaskan Kid Ball 4-0 dalam separuh akhir manakala Jubilo turut layak selepas menang tipis 3-2 ke atas TABS Menggatal.