TFC IV 4 SSTMI 1
(TFC mara dengan agregat 8-1)

Skuad Terengganu FC (TFC) IV menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) 4-1 dalam suku akhir kedua Piala Belia di Kuala Nerus, petang tadi, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat selesa 8-1.


TFC IV, begitupun, dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat melalui tandukan kemas Muhammad Adam Fahimi pada minit keenam untuk menghidupkan peluang SSTMI mencipta kebangkitan.

Mereka semakin bersemangat tatkala TFC IV bagaikan hilang punca yang menyaksikan sepakan percuma Muhammad Mukhairi Ajmal (m-24) hampir menerjah jaring tuan rumah.

SSTMI terus rancak menyerang dan pada minit ke-29, tandukan Mohd Nasip Mohammad Zain hasil hantaran Muhammad Fariz Soaid ditangkap kemas penjaga gol TFC IV.

Semi finalis musim lalu, TFC IV, bimbingan Subri Sulong meredakan tekanan dengan gol penyamaan melalui sepakan percuma Muhammad Syaiful Haqim (m-30) sebelum Muhammad Hisyam Ismail menjaringkan gol kedua pada minit ke-43.

Mendahului 2-1, TFC IV memperkemaskan rentak selepas rehat dan percubaan jarak dekat penyerangnya, Muhammad Isa Raman, pada minit ke-69 diselamatkan Muhammad Riezman Irfan.

Muhammad Isa, bagaimanapun, tidak mensia-siakan peluang pada minit ke-69 apabila menyudahkan hantaran Muhammad Syafik Ismail dari sebelah kiri.

Tiga minit berselang, SSTMI terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pertahanannya, Muhammad Firdaus Abdul Razak, dibuang padang akibat kad kuning kedua.

Kesempatan itu diambil TFC IV untuk menambah luka pelawat menerusi gol keempat daripada Muhammad Syafik (m-74) untuk mengesahkan pertemuan dengan Melaka dalam separuh akhir.

Keputusan lain:

SABAH 1 KEDAH 0 (Kedah mara dengan agregat 4-3)

NEGERI SEMBILAN 0 PKNS FC 1 (PKNS FC mara dengan agregat 1-0)

MELAKA 2 KUALA LUMPUR 2 (Melaka mara dengan agregat 3-2)