TFC IV 3 MELAKA 1 (TFC IV mara dengan agregat 4-3)

Kekurangan seorang pemain sepanjang babak kedua tidak menghalang Terengganu FC (TFC) IV merakam kemenangan dramatik 3-1 ke atas Melaka, petang tadi, sekaligus mara ke final Piala Belia dengan agregat 4-3.

Dalam aksi separuh akhir kedua itu, Terengganu selaku tuan rumah mendahului pada minit ke-14 menerusi Muhammad Syafik Ismail yang melepasi perangkap ofsaid dan tenang menewaskan penjaga gol lawan.

Tersentak dengan gol itu, Melaka meningkatkan tekanan yang menyaksikan percubaan jarak jauh Muhammad Izzat Zikri (m-22) tepat ke dakapan Syed Muhammad Irfan Syafiq.

Kurang seminit babak kedua dimulakan, Terengganu terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara layangan kad merah kepada Wan Muhammad Badrul Muhayat akibat kekasaran ke atas pemain Melaka, Muhammad Nur Azfar Fikri.

Kesempatan itu digunakan pelawat dengan T. Saravanan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-48, namun kuisan pemain sayap itu sedikit tersasar ke sebelah tepi tiang gol Terengganu.

Saravanan begitupun menceriakan Melaka dengan bijak menanduk kemas sepakan penjuru Muhammad Izreen Izwandy untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Melaka terus melancarkan gerakan dengan Saravanan sekali lagi menguji pelawat, mujur penjaga gol Terengganu menyelamatkan pintu golnya daripada dibocori kali kedua.

Enggan berputus asa, Terengganu mempamerkan aksi luar biasa yang menyaksikan Muhammad Hairiey Hakim menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-81 hasil penyudah dari jarak dekat.

Ketika permainan seolah-olah akan diheret ke masa tambahan, Terengganu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Muhammad Syaiful Haqim (m-90).

Menanti Terengganu dalam perlawanan akhir, 26 Ogos ini, ialah PKNS FC yang mengalahkan Kedah 2-0 secara agregat dalam satu lagi separuh akhir.