Pengendali skuad Terengganu FC (TFC) IV, Subri Sulong, tidak mahu barisan pemainnya dilabel pasukan pilihan selepas melebarkan rekod tanpa kalah kepada 20 perlawanan dalam aksi Piala Belia tahun ini.

Sejumlah 13 kemenangan dan lima keputusan seri di peringkat kumpulan, TFC IV meraih dua lagi kemenangan dalam suku akhir untuk menggambarkan kualiti pada semi finalis 2017 itu.

Bertemu Melaka dalam separuh akhir esok, Subri begitupun lebih selesa turun selaku 'underdog' dan mahu TFC IV belajar daripada kesilapan tahun lalu di mana mereka kecundang dalam pusingan sama.

"Tidak dinafikan skuad 2018 lebih baik daripada tahun lalu walaupun sebenarnya sejak awal saingan liga, kami bukan pasukan pilihan.

"Rekod ini sebenarnya membantu pemain-pemain beraksi dengan lebih bersemangat tetapi saya tidak mahu (dilabel pasukan pilihan)," ujarnya.

Menjelang pertemuan menentang Melaka, Subri berkata pemain-pemainnya diingatkan agar tidak terikut-ikut corak pemainan lawan, khususnya dalam babak pertama.

Bekas pemain Terengganu itu turut menegur barisan pertahanannya yang seolah-olah hilang arah dalam aksi terdahulu sehingga membenarkan pemain lawan menembusi kawasan berbahaya.

"Selain itu, jentera serangan perlu lebih tajam kerana masih banyak peluang yang disia-siakan.

"Kami tidak akan mengamalkan gaya bertahan, sebaliknya beraksi seperti biasa dan memburu gol di tempat lawan," tambah Subri.