Bagi memastikan tiada pasukan sekadar beraksi separuh musim, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) hari ini mengesahkan satu kejohanan baru akan diperkenalkan dalam Liga Malaysia 2018 susulan daripada perubahan format liga yang kembali kepada asal.

Pentadbir bola sepak negara itu semalam mengumumkan saingan Piala Malaysia diadakan di luar pertandingan Liga Malaysia selepas dua musim berlangsung seiring.

Situasi itu, bagaimanapun, menimbulkan kebimbangan kepada mana-mana pasukan yang tidak layak beraksi dalam piala berprestij itu.

Sehubungan itu, FMLLP mempunyai langkah terbaik menerusi pengenalan kejohanan baru.

"Satu cadangan telah diberikan kepada Lembaga Pengarah FMLLLP. Mereka telah meluluskan untuk kita berubah kembali bagi memastikan bahawa lapan pasukan yang tidak layak ke Piala Malaysia jatuh kepada Piala Cabaran.

"Kami juga sedang memperhalusi mekanisme kejohanan itu sebelum pengumuman rasmi dibuat," kata Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.

Pelaksanaan itu juga mendapat reaksi positif daripada wakil persatuan dan kelab selepas berasakan pengenalan kejohanan baru itu mampu memberi komitmen kepada semua pasukan sehingga akhir musim.

"Apabila ada perubahan itu, kita ambilnya sebagai perubahan yang baik kepada bola sepak negara.

"Saya rasa semua pasukan sudah boleh memikirkan bagaimana untuk meneruskan aksi pasukan," kata Setiausaha Kehormat, Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Ahmad Shahrul Azhar Sofian.

"Kami menyambut baik pelaksanaan Piala Malaysia selepas liga berakhir, yang mana kemeriahannya kembali dirasai," ujar Setiausaha PKNS FC, Adi Harmizi Ariffin.

Cadangan mengenai nama piala baru itu adalah Piala Cabaran tetapi belum diputuskan secara rasmi.

Ia melibatkan lapan pasukan yang gagal layak ke Piala Malaysia dan format kejohanan itu akan dimuktamadkan dalam masa tedekat.