Yaman bergelut dalam dua perlawanan pertama Piala Asia 2019, begitupun ketua jurulatih, Jan Kocian, menegaskan mereka mampu melakar kejutan dengan mengalahkan Vietnam di Stadium Al Ain dan berpotensi layak ke pusingan 16.

Baik Yaman mahupun Vietnam, masing-masing masih gagal meraih sebarang mata dalam kempen di Emiriah Arab Bersatu (UAE) setakat ini apabila tumpas dalam dua perlawanan awal Kumpulan D.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan sedar bahawa kemenangan di Stadium Hazza Bin Zayed, tengah malam ini mungkin memadai untuk mereka mencapai kemajuan menerusi tiket salah sebuah daripada empat pasukan terbaik yang menamatkan aksi kumpulan di tangga ketiga.

Walaupun Yaman -- pasukan paling kerdil kejohanan -- dibelasah Iran 5-0 dan Iraq 3-0, Kocian bertekad untuk terus bersemangat dan menonjolkan kekuatan mental pasukannya.

"Kami bersedia untuk perlawanan ini dan percaya pemain saya sudah bersedia untuk mendapatkan kemenangan pertama mereka," kata Kocian.

"Pemain saya mungkin kurang berpengalaman di peringkat ini tetapi kami semakin meningkat. Kami perlu bermula dengan lebih baik berbanding Vietnam, tetap fokus dan mempamerkan aksi yang lebih kemas."

Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo, juga yakin sambil menegaskan pasukannya tidak akan memandang rendah pasukan lawan yang menduduki tempat 35 lebih bawah daripada mereka dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

"Seperti kami, Yaman memerlukan tiga mata," kata Park.

"Kami telah melakukan beberapa analisis mengenai pasukan lawan dan mereka adalah pasukan yang baik. Namun, semangat juang pasukan saya lebih kuat dan kami mampu menang. Kami akan mencurahkan segala kudrat untuk meraih tiga mata."

Vietnam, yang tewas 2-3 kepada Iraq sebelum tersungkur 0-2 kepada Iran, pastinya akan menjadi pasukan pilihan berbanding lawan yang hanya mencipta dua percubaan tepat sepanjang kempen ini.

Vietnam, yang mara ke suku akhir edisi 2007, perlu beraksi tanpa Do Duy Manh, yang mengutip kad kuning dalam setiap perlawanan terdahulu.