Jurulatih Uzbekistan, Hector Cuper, menegaskan bahawa potensi lawan yang bakal dihadapi dalam pusingan 16 Piala Asia 2019 tidak akan mengabui perhatiannya menjelang aksi terakhir Kumpulan F menentang Jepun, malam ini.

Kejayaan 2-1 ke atas Oman disusuli kemenangan ketika membelasah Turkmenistan 4-0 merintis laluan selamat untuk mereka ke peringkat kalah mati.

Jepun turut mengumpul enam mata yang bermakna pertemuan di Stadium Khalifa bin Zayed itu akan menjadi medan untuk menentukan siapa yang akan menghuni puncak kumpulan.

Dengan menjuarai Kumpulan D, ini bermakna Uzbekistan akan bertemu naib juara Kumpulan E sementara pasukan di tangga kedua akan memikul tugas berat untuk berdepan juara bertahan, Australia.

Cuper, bagaimanapun, menegaskan bahawa dia tidak melihat aksi selain daripada Jepun dan sebarang perubahan yang dilakukannya adalah demi membantu pasukannya memenangi perlawanan.

"Perkara yang paling mustahak adalah kemenangan, tidak kira sama ada kami membuat beberapa rombakan atau tidak," katanya.

"Saya tidak suka apabila orang mengatakan kami perlu beraksi berpandukan pencabar yang bakal kami hadapi dalam pusingan seterusnya. Tidak penting bagi saya mengenai siapa yang akan kami hadapi.

"Ada yang mengatakan Australia merupakan lawan yang sukar, namun mungkin terdapat beberapa kejutan. Malah, pasukan yang kami fikir adalah pasukan yang lebih kerdil akhirnya mencatat kemenangan.

"Saya pernah melatih pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan saya berpengalaman luas dan tidak pernah memilih siapakah yang bakal dihadapi. Saya sudah terbiasa untuk berdepan dengan mana-mana pasukan sekalipun. Pihak lawan bukanlah isu."

Juara empat kali, Jepun, yang menawan kejohanan itu dalam tempoh tujuh edisi terakhir Piala Asia, bangkit untuk mengalahkan Turkmenistan selain memerlukan jaringan penalti Genki Haraguchi untuk mengatasi Oman.

Jurulatih skuad Samurai Biru, Hajime Moriyasu, yang turut bercadang melakukan rombakan ke atas pasukannya, menuntut peningkatan anak buahnya.

"Dalam dua perlawanan setakat ini, kami telah mempelajari beberapa perkara dan ada beberapa aspek lain yang kami ingin perbaiki. Saya mahu menyelesaikannya sebelum perlawanan dan memperagakan prestasi terbaik kami," katanya.

"Selepas dua perlawanan, saya ingin menukar beberapa pemain kerana kami ingin menerapkan konsep yang diamalkan ketika sesi latihan dan saya telah meluahkan hasrat ini kepada anak buah."