Thailand memecat jurulatih, Milovan Rajevac, selepas mereka mengalami kekalahan 4-1 kepada India dalam saingan peringkat kumpulan Piala Asia di Abu Dhabi, semalam.

Selepas melakukan permulaan mengecewakan dalam saingan Kumpulan A, Thailand mengambil keputusan untuk memecat Rajevac dan mengumumkan Sirisak Yodyardthai sebagai pengendali sementara.

Bekas jurulatih skuad Piala Dunia Ghana, Rajevac, mengambil alih Thailand pada 2017 sebelum kontraknya dilanjutkan sehingga 2020 pada Februari tahun lalu.

Tetapi tewas dalam aksi separuh akhir Piala AFF kepada Malaysia menerusi peraturan gol di tempat lawan, 6 Disember lalu, dan kekalahan terbaru kepada India malam tadi menjadi faktor utama pemecatan beliau.

"Saya percaya ini bukan cara kami memberikan sokongan kepada corak permainan pasukan kami," kata Presiden Persatuan Bolasepak Thailand, Somyot Poompanmoung, dalam satu kenyataan.

"Dengan ini, saya mengumumkan pemecatan Milovan Rajevac dan beberapa staf kejurulatihan dan melantik Sirisak Yodyardthai selaku pengendali sementara di samping Choketawee Promrut sebagai penolong jurulatih sehingga tamat Piala Asia."

Thailand bersaing dalam Piala Asia buat kali pertama sejak 2007 dan dijangka melakar kebangkitan ketika berdepan Bahrain, Khamis ini.