Piala Asia: Sepakan percuma Al Rawi bantu Qatar benam Iraq 

Oleh Staff Writer 23 Januari 2019 643
Piala Asia: Sepakan percuma Al Rawi bantu Qatar benam Iraq 
QATAR 1 IRAQ 0

Bassam Al Rawi melepaskan sepakan percuma menarik untuk Qatar mencipta kemenangan 1-0 ke atas Iraq di Stadium Al Nahyan untuk layak ke suku akhir Piala Asia 2019, awal pagi tadi. 


Al Rawi, yang meledak jaringan dalam situasi bola mati ke atas Lubnan dalam perlawanan pembukaan, kembali mengulangi sentuhan berbisanya untuk memacu skuad kendalian pasukan Felix Sanchez berkenaan. 

Qatar, yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022, bakal menghadapi Korea Selatan dalam suku akhir manakala juara Piala Asia 2007, Iraq, tersingkir.

Percubaan Abdelkarim Hassan -- bakal terlepas aksi suku akhir akibat penggantungan -- sempat menggegar palang gol sebelum dua rayuan penalti Qatar tidak diendahkan. 

Iraq tersentak apabila Humam Tariq Faraj mengalami kecederaan dan terpaksa diusung keluar. 

Sebelum separuh masa pertama berakhir, sepakan lintang pemain Qatar, Hassan, terbias keluar manakala kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang menarik dalam babak berikutnya sebelum jaringan Al Rawi itu menjadi penentu perlawanan. 

Pada minit ke-62, Akram Hassan Afif memenangi tendangan bebas dari jarak 25 ela dan Al Rawi menggunakan kesempatan itu dengan melencongkan bola melepasi benteng dan jangkauan penjaga gol Iraq, Jalal Hassan Hachim.

Tandukan Mohanad Ali Kadhim dan Ahmed Ibrahim belum cukup untuk pasukan bimbingan Srecko Katanec itu mendapatkan gol penyamaan tatkala Qatar mula berkubu di kawasan sendiri. 

Qatar belum pernah memenangi aksi kalah mati dalam Piala Asia sebelum ini tetapi peluang mereka semakin terbuka apabila Iraq dihimpit masalah kecederaan yang menimpa pemain gantian, Ali Hisny Faisal dan Alaa Ali Mhawi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen