VIETNAM 2 YAMAN 0

Vietnam menghidupkan peluang kemaraan dalam Piala Asia 2019 dengan kemenangan 2-0 ke atas Yaman di Stadium Hazza bin Zayed, Al Ain, yang menyaksikan mereka menduduki tangga ketiga Kumpulan D, awal pagi tadi.


Nguyen Quang Hai meledak gol pertama perlawanan menerusi sepakan percuma dari jarak 30 ela untuk membantu Vietnam merakamkan tiga mata penting ketika mengintai peluang mengisi salah satu slot empat pasukan terbaik dalam kalangan pasukan yang meraih tangga ketiga kumpulan.

Jaringan Quang Hai itu merupakan detik penting yang jarang berlaku dalam pertemuan itu selepas kedua-dua pasukan tewas dalam dua perlawanan pembukaan mereka dalam kempen di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

Sepakan penalti Que Ngoc Hai memuktamadkan kemenangan skuad yang diberi jolokan Naga Emas itu untuk menghantar Yaman ke tangga tercorot kumpulan dan tersingkir daripada kejohanan.

Dengan keputusan seri bukanlah pilihan, kedua-dua pasukan sepatutnya menerapkan aksi menyerang, namun pintu gol masing-masing gagal diuji dalam tempoh setengah jam permainan.

Detik pertama kualiti sebenar perlawanan tiba lapan minit kemudian yang mencetuskan bantahan daripada pemain Yaman ekoran sepakan percuma yang diberikan selepas kekasaran yang dilakukan Mudir Abdurabu.

Quang Hai menambah garam di luka lawan apabila melepaskan tendangan pegun dengan melencongkan bola melepasi tembok pertahanan dan penjaga gol, Salem Al-Haresh.

Yaman cuba meningkatkan tempo permainan selepas rehat untuk mengekalkan impian mereka, namun akhirnya dikecewakan apabila Vietnam diberikan sepakan penalti pada minit ke-64.

Penalti itu dihadiahkan susulan kelincahan Phan Van Duc disekat oleh kegopohan terjahan Abdulaziz Al-Gumaei dan ketua pasukan, Ngoc Hai, tidak membuat kesilapan dari jarak 12 ela untuk mengatasi Al-Haresh.

Vietnam kini harus menunggu dan melihat apakah mereka akan mara ke pusingan 16 dengan baki empat perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung hari ini.