Qatar mampu menawan Piala Asia 2019 buat kali pertama, menurut jurulatihnya, Felix Sanchez.

Tuan rumah Piala Dunia 2022 itu menempah tempat ke suku akhir dengan kemenangan 1-0 ke atas Iraq, awal pagi tadi.

Sepakan percuma Bassam Al Rawi pada pertengahan babak kedua sudah cukup untuk menghadiahkan Qatar kemenangan yang sengit dalam aksi di Stadium Al Nahyan itu.

Qatar akan bertemu Korea Selatan di peringkat berikutnya selepas buat julung kalinya melepasi pusingan 16 Piala Asia untuk menempah pertemuan Jumaat ini.

Biarpun pasukan bimbingan Sanchez itu dilabel sebagai skuad 'underdog', dia memiliki keyakinan penuh terhadap peluang pasukannya untuk melakar sejarah lebih besar dalam Piala Asia.

"Kami perlu bersabar, kami terpaksa menyesuaikan diri," kata Sanchez selepas gol kedua Al Rawi melalui sepakan percuma yang membantu mereka menyingkirkan Iraq.

"Apabila anda mencapai peringkat ini, anda mahu memenangi kejohanan -- pemain telah menunjukkan kemampuan untuk melakukannya."

Korea Selatan pula memerlukan jaringan pada masa tambahan sumbangan Kim Jin-su untuk menjinakkan Bahrain 2-1, malam tadi.

Pemain bintang, Son Heung-min, dan jurulatih, Paulo Bento, mengkritik persembahan Korea selepas finalis edisi 2015 itu gagal memperagakan permainan terbaik mereka.

"Ia adalah satu perlawanan yang sukar," kata ketua pasukan Korea, Heung-min.

"Ini semua berkaitan dengan sikap juga.

"Saya agak tidak berpuas hati dengan prestasi kami -- saya rasa kami mampu beraksi lebih baik daripada itu."