KOREA UTARA 0 QATAR 6

Almoez Ali meledak empat gol sensasi untuk Qatar menempah slot pusingan kalah mati susulan kemenangan 6-0 ke atas Korea Utara dalam aksi Kumpulan E, Piala Asia 2019 di Stadium Khalifa Bin Zayed, Al Ain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebentar tadi.


Ali, yang menjaringkan gol minit terakhir ketika Qatar menang ke atas Lubnan dalam perlawanan pembukaan, kembali mempamerkan aksi memukau untuk membantu tuan rumah Piala Dunia 2022 itu mara ke pusingan 16.

Selepas menyudahkan hantaran silang Akram Hassan Afif, Ali menggandakan kedudukan perlawanan dua minit kemudian dengan menyempurnakan hantaran menarik Hasan Al Haydos.

Ri Un-chol hampir merapatkan kedudukan buat Korea Utara, namun Iran semakin mendekati kemenangan sebaik Boualem Khoukhi menjadikan kedudukan 3-0 sebelum separuh masa pertama berakhir.

Ali mencetak gol ketiganya -- hatrik pertama kejohanan -- 10 minit selepas permainan bersambung apabila menyambut lorongan Afif sebelum menewaskan Ri Myong-guk untuk mengatasi pemain Iran, Sardar Azmoun, sebagai penjaring terbanyak Piala Asia 2019.

Qatar tidak mudah berpuas hati dan terus memalukan Korea Utara. Afif dan Ali kembali bergandingan untuk menyumbat jaringan keempatnya selepas sejam permainan berlangsung tetapi palang menjadi penghalang buat mereka untuk menambah gol tidak lama selepas itu.

Abdelkarim Hassan kemudian melebarkan kedudukan kepada 6-0.

Situasi Korea Utara semakin buruk pada minit ke-90 berikutan Jong Il-gwan menerima kad kuning kedua kerana mengasari Khoukhi.

Skuad kendalian Felix Sanchez itu kini menduduki tangga teratas Kumpulan E dengan kelebihan satu mata ke atas Arab Saudi -- yang mengesahkan kelayakan malam tadi -- sebelum kedua-dua pasukan membuat perhitungan merebut kedudukan teratas kumpulan.