Iran dan Iraq akan melanjutkan perseteruan mereka apabila bertembung dalam Piala Asia 2019 dengan dibayangi aksi dramatik edisi 2015.

Dengan kedudukan puncak Kumpulan D menjadi rebutan dalam aksi di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tengah malam ini, kedua-dua pasukan bagaimanapun sudah pasti menjamin tempat dalam pusingan seterusnya, maka pertemuan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Al Maktoum itu dijangka berlangsung lebih santai.

Ini berbeza dengan pertembungan empat tahun lalu yang menyaksikan Iraq mengalahkan Iran menerusi penentuan penalti selepas seri 3-3 dalam suku akhir sebelum tewas kepada Korea Selatan dalam separuh akhir.

Jurulatih Iran, Carlos Queiroz, berharap kedua-dua pasukan akan menyajikan aksi menghiburkan.

"Kami sangat teruja dengan perlawanan ini kerana saya yakin ia akan menjadi satu perlawanan hebat untuk kedua-dua pasukan serta peminat Iran dan Iraq, jadi marilah kita menikmatinya," kata bekas pengurus Real Madrid itu.

"Tiada apa dalam bola sepak ini yang boleh berulang. Anda tidak akan dapat mengulangi aksi, kejohanan dan menjalani sesi latihan mudah yang sama dalam hidup.

"Jadi, esok adalah permulaan, cerita dan perlawanan yang baru. Satu skrip baru untuk ditulis oleh pemain, jurulatih dan pengadil.

"Apa yang berlaku pada masa lalu bukanlah penentu kepada kemenangan dan kekalahan perlawanan ini. Ia tidak mempunyai sebarang pengaruh dalam permainan kami, kami berada di sini untuk menikmati permainan yang baik."

Jurulatih Iraq, Srecko Katanec, menyatakan sentimen yang sama dengan memberitahu pemberita: "Kami perlu bergerak sebagai sebuah pasukan supaya lebih padat. Saya tahu banyak perkara yang perlu kami lakukan untuk diperbaiki.

"Ia akan menjadi lebih mudah kerana kami sudah berada dalam pusingan kedua, jadi pemain boleh beraksi tanpa tekanan.

"Saya tidak meletakkan sebarang tekanan (ke atas pemain). Mereka hanya perlu cuba melakukan perkara-perkara yang telah dibincangkan selama beberapa hari ini. Jika mereka melakukannya, saya yakin kami akan tampil dengan baik," katanya lagi.