OMAN 0 JEPUN 1

Juara empat kali, Jepun, mengesahkan tempat dalam pusingan 16 Piala Asia 2019 selepas menundukkan Oman 1-0 dalam aksi penuh kontroversi di Stadium Bandaraya Sukan Zayed, Abu Dhabi sebentar tadi.


Selepas berhempas-pulas untuk meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan F menentang Turkmenistan sebelum ini, Jepun sekali lagi beraksi jauh daripada tahap sebenar tatkala dua keputusan melibatkan sepakan penalti menjadi perhatian.

Genki Haraguchi menjaringkan gol tunggal selepas Raed Saleh dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain berusia 27 tahun itu sebelum aksi berusia setengah jam sambil Yuto Nagatomo bernasib baik tidak menghadiahkan sepakan penalti buat lawan susulan bola terkena tangannya.

Kemenangan itu membolehkan Jepun melepasi peringkat kumpulan sambil Oman masih berpeluang untuk menyertai mereka menerusi tiket pasukan tangga ketiga terbaik sekiranya Uzbekistan menundukkan Turkmenistan dan mereka melakukan perkara sama Khamis ini.

Selepas Faiyz Al Rusheidi tampil cemerlang menerusi aksi tangkas di permulaan permainan, Oman hampir meraih pendahuluan selepas 20 minit apabila Muhsen Al Ghassani mengatasi Shuichi Gonda tetapi usahanya dari sudut sukar sekadar tersasar.

Al Rusheidi sekali lagi menafikan percubaan Jepun, menggagalkan usaha Takumi Minamino pada minit ke-27 tetapi skuad bimbingan Hajime Moriyasu itu mencipta jaringan setelah Saleh menjatuhkan Haraguchi walaupun ulang tayang menyaksikan hanya ada sedikit sentuhan.

Haraguchi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti tersebut tetapi Jepun bernasib baik mengekalkan pendahuluan sebelum rehat selepas Nagatomo dilihat menahan bola percubaan Salaah Al-Yahyaei menggunakan tangannya.

Anak buah Moriyasu itu tampak sukar untuk melebarkan kelebihan selepas rehat dan skuad Samurai Biru bernasib baik di atas ketumpulan barisan depan Oman dalam menggunakan setiap peluang, sekali gus membolehkan Jepun meraih kemenangan.