SYRIA 0 PALESTIN 0

Palestin meraikan kejayaan meraih mata pertama dalam sejarah Piala Asia selepas mengikat Syria 0-0 di Sharjah semalam walaupun beraksi dengan 10 pemain.


Tewas dalam setiap perlawanan peringkat kumpulan dalam penampilan pertama pada 2015, Palestin kini menampilkan permainan lebih kompetitif dan berjaya memberikan tentangan kepada lawan walaupun selepas Mohammed Saleh dilayangkan kad merah ketika perlawanan berbaki 22 minit.

Pertahanan itu dilayangkan kad kuning kedua selepas melakukan terjahan keras ke atas Omar Khrbin tetapi Syria, yang dijangka mara ke peringkat seterusnya selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan kelayakan Piala Dunia, gagal menggunakan peluang untuk mendahului permainan.

Kegagalan untuk menyempurnakan beberapa percubaan dalam separuh masa pertama membenarkan Palestin untuk lebih yakin beraksi dan memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Syria, yang terlepas Piala Asia edisi 2015, merupakan pasukan yang lebih berkualiti di atas kertas dan memiliki dua peluang untuk mencetak jaringan pada awal permainan.

Khrbin yang bertindak selaku penyerang utama Syria, terpaksa menyaksikan percubaannya berjaya dihalang oleh Abdallah Jaber sebelum penjaga gol, Rami Hamada, menampan keluar tandukannya bagi percubaan kedua.

Syria berada di landasan terbaik untuk meraih tiga mata ketika perlawanan berbaki 20 minit selepas Palestin terpaksa meneruskan permainan dengan 10 pemain apabila Saleh diarahkan keluar padang.

Bagaimanapun, Palestin berusaha sebaik mungkin menyerap setiap asakan lawan dan memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Palestin akan berdepan Australia untuk aksi seterusnya sementara Syria bertemu Jordan.