IRAQ 3 YAMAN 0

Iraq mengesahkan slot pusingan 16, Piala Asia 2019 selepas mudah menewaskan Yaman 3-0 dalam aksi di Stadium Sharjah, sebentar tadi.


Skuad kendalian Srecko Katanec itu menyertai negara jiran, Iran, yang turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Vietnam dalam aksi sebelum itu untuk mengetuai Kumpulan D.

Mohanad Ali membuka tirai jaringan pada minit ke-11 dengan gol solo hebat sambil gol kedua daripada Bashar Resan lapan minit kemudian melebarkan pendahuluan Iraq.

Yaman, yang dibelasah 5-0 oleh Iran dalam perlawanan pertama, jelas tidak memberikan sebarang ancaman bahaya ke kubu Iraq dan bakal melakukan perhitungan untuk merebut tempat ketiga terbaik dalam kumpulan dengan Vietnam tatkala Iraq dan Iran akan bertarung bagi mendapatkan status juara kumpulan.

Jaringan pembukaan hadir apabila Mohanad Ali bijak melepasi benteng Yaman dengan larian deras dan penyerang itu menggunakan kaki kanan untuk melencongkan bola menewaskan Saoud Al-Sowadi.

Yaman hampir menyamakan kedudukan apabila Abdulwasea Al-Matari menanduk bola melewati palang selepas menerima hantaran daripada sepakan percuma.

Namun, selepas ketinggalan akibat gol menakjubkan lawan, harapan Yaman untuk bangkit dipadamkan dengan jaringan kedua Iraq apabila rembatan jarak jauh Resan terkena Mudir Abdurabu untuk membuatkan Al-Sowadi tewas buat kali ketiga.

Yaman bernasib baik dalam babak kedua setelah percubaan Mohanad Ali terkena tiang gol tetapi ia jelas tidak mengubah nasib anak buah Jan Kocian itu.

Iraq menambah derita lawan dengan gol ketiga ketika aksi memasuki minit terakhir apabila Alaa Abbas menyempurnakan peluang terhidang di depan gol untuk mengesahkan kemenangan 3-0.