LUBNAN 4 KOREA UTARA 1

Kempen Lubnan dalam Piala Asia 2019 berakhir dengan cara yang kejam atas rekod disiplin mereka meskipun mencatat kemenangan dramatik 4-1 ke atas seteru Kumpulan E, Korea Utara, di Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi tadi.


Hilal Alhelwe meledak gol keduanya dan keempat buat Lubnan ketika lapan minit menuju waktu kecederaan untuk menyamai jumlah mata, gol dibolosi dan jaringan Vietnam untuk merebut slot empat pasukan terbaik dalam kalangan pasukan di tangga ketiga.

Namun, kad kuning awal yang dilayangkan terhadap Robert Melki menyaksikan Lubnan mengutip enam kad kuning berbanding lima oleh Vietnam.

Ini bermakna penampilan kedua mereka dalam Piala Asia terkandas di peringkat kumpulan sementara satu lagi amaran terhadap Mohamad Haidar sebelum wisel penamat ditiupkan menjadikan Lubnan mengumpul tujuh kad kuning secara keseluruhannya.

Setelah mengalami kekalahan 0-2 kepada Qatar dan Arab Saudi, Lubnan perlu menang dengan empat gol untuk menjamin tempat dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, kesilapan penjaga gol, Mehdi Khalil, membuatkan mereka tersentak apabila membenarkan Korea Utara memimpin perlawanan menerusi Pak Kwang-ryong.

George Melki menyamakan kedudukan dan Alhelwe memastikan Lubnan untuk mendahului sebelum Hassan Maatouk menjadikan kedudukan 3-0 menerusi sepakan penalti.

Alhelwe kemudian menyumbat gol keempat pasukannya tetapi ia terbukti sia-sia berikutan Lubnan kesuntukan masa untuk menokok gol kelima yang diperlukan.

Khalil harus bermuka merah padam selepas dia membenarkan tendangan bebas Pak melepasi bawah badannya pada minit kesembilan.

Gerakan menarik Maatouk mencipta kebangkitan Lubnan apabila melorongkan bola kepada Melki untuk gol penyamaan.

Sim Hyon-jin bertindak cemerlang untuk menepis tandukan Alhelwe di atas garisan gol tetapi pada minit ke-65, penjaga gol itu gagal menyekat voli Alhelwe yang menyambut hantaran silang Haidar untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Ri Hyok-chol hampir mengikat kedudukan tetapi sepakan penalti meyakinkan Maatouk meletakkan Lubnan dalam kedudukan lebih selesa selepas Kim Chol-bom mengasari Rabin Ataya.

Selepas itu, Ri Myong-guk sempat menafikan percubaan kelam-kabut Ataya manakala Joan Oumari gagal menyambung kesempatan terhidang itu.

Alhelwe, bagaimanapun, tidak membuat kesilapan untuk gol keempat pasukannya dengan rembatan deras tetapi ia terbukti sudah terlewat.

Haidar yang dikenakan kad kuning selepas itu, rebah dan menangis kerana sedar Lubnan terlepas tempat ke pusingan 16 dengan jurang yang amat kecil.