China akan diperkasakan kembali dengan kehadiran penyerang sensasi, Wu Lei, menjelang perlawanan pusingan 16 berdepan Thailand malam ini dalam usaha untuk melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak 2004.

Skuad kendalian Marcello Lippi itu menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku naib juara Kumpulan C selepas tewas 0-2 kepada Korea Selatan, Khamis lalu.

Wu Lei, yang menjaringkan dua gol ketika menundukkan Filipina 3-0 dalam perlawanan terdahulu, tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Korea ekoran kecederaan bahu.

Bagaimanapun, penyerang Shanghai SIPG itu disahkan cergas untuk diturunkan dalam perlawanan pusingan 16 di Stadium Hazza Bin Zayed, malam ini.

Walaupun mengakui skuadnya tidak memiliki kekuatan 100 peratus menjelang perlawanan itu, Lippi berharap mereka akan menemui jalan untuk ke saingan suku akhir kejohanan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu.

"Dia akan diturunkan dalam perlawanan itu.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang belum cergas 100 peratus dan kami akan memeriksa keadaan mereka dalam sesi latihan.

"Kami sudah bersedia untuk berdepan Thailand dan akan memberikan segala-galanya untuk ke suku akhir," katanya.

Wu Lei merupakan tunjang kejayaan China ketika kedua-dua negara itu bertemu Jun lalu, dengan Thailand tewas 0-2.

Bagaimanapun, Thailand mahu memanfaatkan kesempatan mereka selepas mara ke pusingan 16 selaku naib juara Kumpulan A di belakang tuan rumah, UAE.

Mereka gagal ke pusingan kedua sejak tahun 1972 dan dengan perubahan jurulatih sejak skuad Gajah Perang itu tewas dalam perlawanan pembukaan, telah mula memberikan pulangan lumayan.

Thailand memecat Milovan Rajevac ketika tewas 1-4 kepada India dan jurulatih sementara, Sirisak Yodyardthai, segera mengubah nasib pasukan itu dengan mengumpul empat mata dalam dua perlawanan berikutnya.

"Sejak mula mengambil alih, apa yang saya lakukan adalah menyuntik sikap positif dalam pasukan dan memberikan kebebasan kepada mereka untuk menonjolkan potensi sebenar," kata Sirisak.

Thailand akan kehilangan perancang tengah, Sanrawat Dechmitr, ekoran kecederaan belakang menjelang pertemuan dengan China itu.