KYRGYZSTAN 0 KOREA SELATAN 1

Korea Selatan memastikan kemaraan ke pusingan kalah mati Piala Asia 2019 menerusi kemenangan 1-0 ke atas Kyrgyzstan di Stadium Hazza Bin Zayed, Bandaraya Al Ain, awal pagi tadi.


Pengendali pasukan, Paulo Bento, mahu mengambil pendekatan lebih proaktif selepas mengalami kemenangan tipis 1-0 ke atas Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Percubaan demi percubaan yang dihasilkan merupakan perkara positif yang boleh diambil oleh skuad Korea Selatan dalam perlawanan itu sebagai memperbaiki kekurangan yang dipamerkan dalam aksi terdahulu.

Kim Min-jae membuka jaringan pada minit ke-41 selepas menanduk masuk hantaran Hong Chul daripada sepakan sudut.

Anak buah Bento hampir menambah bilangan jaringan dalam babak kedua, namun tiga percubaan mereka sekadar menggegar palang gol lawan.

Korea Selatan bernasib baik untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan selepas gagal melunaskan peluang demi peluang di hadapan gol, dengan Kyrgyzstan gagal untuk mempamerkan tentangan, sekali gus menyaksikan mereka melangkah ke pusingan seterusnya.