Kapten Oman, Ahmed Al Mahaijri, gembira untuk memanfaatkan peluang menundukkan gergasi Asia, Iran, sambil menegaskan pasukannya masih belum puas untuk beraksi dalam kempen Piala Asia kali ini.

Kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan, Khamis lalu, memberikan laluan buat Oman ke pusingan 16 buat kali pertama sepanjang penyertaan mereka dan bakal bertemu pasukan terbaik Asia, Iran, malam ini.

Bagi Ahmed, yang menjaringkan gol daripada sepakan percuma gemilang bagi menjamin kedudukan mereka selaku pasukan ketiga terbaik Kumpulan F, pasukannya tidak gentar untuk berdepan Iran dan percaya pasukan tidak ternama seperti mereka akan menikmati setiap detik beraksi di pentas tertinggi itu.

"Iran pasukan yang kuat, namun kami juga tiada kekurangan.

"Kami hanya tewas tipis kepada Jepun (0-1) dan Uzbekistan (1-2) dan ia membuktikan kami mampu berdepan pasukan yang memiliki ranking jauh lebih baik berbanding kami.

"Kami sudah mencipta sejarah dengan layak ke pusingan kedua, namun kami masih belum puas.

"Kami akan mencipta lebih banyak sejarah.

"Berdepan Iran merupakan aksi yang kami nanti-nantikan.

"Ia pasti menjadi aksi yang menyukarkan kami, namun kami akan pastikan mereka akan berdepan kesukaran sama," katanya.

Iran tidak pernah dibolosi sepanjang kempen peringkat kumpulan kali ini.

Namun, ketiadaan jurulatih, Carlos Queiroz, sepanjang beberapa hari lalu berkemungkinan akan mengganggu tumpuan mereka.

Pemain tengah, Ashkan Dejagah, mengingatkan pasukannya bahawa Oman akan menjadi lawan paling licik buat mereka.

"Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sukar.

"Setakat ini, setiap pasukan yang kami temui pasti akan bermotivasi tinggi berdepan kami.

"Kami pernah bertemu Oman sebelum ini.

"Mereka sememangnya pasukan yang baik," katanya.