Piala Asia: Juara bertahan Australia kembali 'bernyawa' 

Oleh Staff Writer 11 Januari 2019 1854
Piala Asia: Juara bertahan Australia kembali 'bernyawa' 
PALESTIN 0 AUSTRALIA 3

Australia bangkit daripada kelukaan tumbang dalam aksi sulung mereka kepada Jordan untuk kembali menyalakan impian dalam kempen Piala Asia 2019 menerusi kemenangan 3-0 ke atas Palestin di Stadium Maktoum Bin Rashid Al Maktoum, Dubai, sebentar tadi.


Juara menanti itu tewas mengejut 0-1 lima hari lalu, namun gol pantas daripada Jamie Maclaren -- jaringan pertama untuk negaranya -- dan Awer Mabil pada awal permainan meletakkan mereka dalam kedudukan selesa dalam aksi di Stadium Rashid itu sebelum gol pemain gantian, Apostolos Giannou, memuktamadkan kemenangan mereka. 

Dua gol pertama permainan tiba pada minit ke-18 dan 20 selepas Maclaren menyempurnakan hantaran lintang Tom Rogic manakala Mabil menerpa untuk membuat sentuhan terakhir umpanan yang dihasilkan Chris Ikonomidis dari sebelah kiri -- pemain sayap itu turut menjadi penyumbang kepada gerakan gol Giannou di penghujung permainan.

Kemenangan tersebut menjulang Australia ke tangga kedua Kumpulan B, dua mata mengatasi lawan yang terakhir yang bakal dihadapi mereka, Syria, untuk hanya perlu mencatat seri bagi memastikan kemaraan ke pusingan 16 sementara peluang Palestin hampir tertutup susulan berada di tangga tercorot dengan satu mata.

Pengurus Socceroos, Graham Arnold, menuntut pemainnya untuk berjuang selepas kalah kepada Jordan dan beliau pastinya gembira melihat dua gol terhasil dalam babak awal permainan.

Rogic, bermain dengan tangan yang patah dalam perlawanan terdahulu, membuat sepakan lintang yang cukup baik dari sebelah kanan untuk Maclaren membuka tirai gol perlawanan.

Kedudukan itu tidak lama apabila Australia menggandakan kelebihan itu dengan pantas apabila Mabil yang tidak dikawal menukar umpanan Ikonomidis dari jarak lima meter kepada jaringan. 

Australia sepatutnya membunuh permainan lebih awal sejurus sebelum rehat apabila kedua-dua penjaring berkenaan bergabung gerakan, namun Mabil membuat percubaan liar dari jarak dekat.

Socceroos hampir mencetak gol ketiga yang menyaksikan bola hantaran rendah Rhyan Grant melantun dari kaki Abdallah Jaber untuk menggegar palang tetapi kemenangan mereka disahkan pada minit ke-90 apabila Giannou melonjak tinggi untuk menyambut hantaran Ikonomidis untuk anak buah Arnold menepati hasrat kebangkitan mereka. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen