JEPUN 1 ARAB SAUDI 0

Jepun melangkah ke suku akhir Piala Asia 2019 selepas menundukkan Arab Saudi 1-0 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebentar tadi.


Kemenangan itu menyaksikan mereka melangkah ke suku akhir dan akan berdepan wakil Asia Tenggara, Vietnam, Khamis ini.

Takehiro Tomiyasu menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-20 menerusi tandukan tinggi -- gol pertamanya dalam enam penampilan antarabangsa -- bagi memastikan kemenangan tipis skuad Samurai Biru itu.

Walaupun memaparkan aksi yang kurang meyakinkan, Jepun masih mengekalkan rekod bersih dengan empat kemenangan dan perlu mencongak percaturan terbaik bagi menghadapi pasukan "kuda hitam", Vietnam, di Stadium Al Maktoum, Dubai, tiga hari dari sekarang.

Aksi di Sharjah malam ini mempertemukan dua wakil Asia dalam Piala Dunia 2018 dan pertarungan itu dilihat sebagai perlawanan paling dinanti-nantikan dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, aksi kurang menarik disajikan kedua-dua pasukan dengan Jepun memerlukan gerakan 'set-piece' untuk memecah kebuntuan.

Sepakan penjuru sempurna yang dilakukan Gaku Shibasaki tepat menuju ke arah Tomiyasi yang kemudian melonjak tinggi untuk menewaskan Mohammed Al-Fatil sebelum melakukan tandukan terus ke arah penjuru gawang Mohammed Al-Owais.

Skuad Al Akhḍar cuba memberikan reaksi balas lima minit kemudian, namun percubaan Hattan Bahebri tersasar jauh.

Gerakan Yoshinori Muto di bahagian kiri padang berjaya menewaskan Mohammed Al-Breik, namun rembatannya dihadang Yasser Al-Shahrani.

Arab Saudi memperoleh deretan peluang untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, aspek penyudah kerap kali menghampakan mereka.

Salem Al-Dawsari mempersia-siakan peluang terhidang selepas gagal memanfaatkan hantaran lintang Fahad Al-Muwallad manakala Ali Al-Bulaihi yang tidak dijaga rapi gagal menanduk tepat ke jaring lawan.