KOREA SELATAN 2 BAHRAIN 1
(selepas masa tambahan)

Korea Selatan mengesahkan tempat dalam suku akhir Piala Asia 2019 selepas gol dalam masa tambahan membolehkan mereka menewaskan Bahrain 2-1 di Dubai, sebentar tadi.


Tandukan Kim Jin-Su dalam waktu kecederaan babak pertama masa tambahan cukup untuk menafikan peluang Bahrain menundukkan pasukan yang menduduki 60 tangga lebih baik berbanding mereka dalam ranking FIFA itu.

Mohamed Al Romaihi memadamkan jaringan pendahuluan Hwang Hee-Chan untuk memaksa perlawanan diheret ke 30 minit masa tambahan di Stadium Rashid tetapi Jin-Su menyempurnakan hantaran lintang Lee Yong menerusi tandukan kencang.

Korea Selatan mendominasi awal perlawanan tetapi percubaan Mohamed Marhoon hampir memecah kebuntuan.

Korea Selatan kendalian Paulo Bento itu bergelut untuk memecahkan benteng Bahrain, namun akhirnya meraih jaringan pembukaan ketika babak pertama berbaki dua minit apabila Hee-Chan menolak bola masuk ke gawang selepas penjaga gol, Sayed Shubbar Alawi, menampan hantaran lintang Lee Yong dengan tangan kiri.

Bahrain terus memberikan ancaman buat Korea Selatan selepas rehat, memaksa Kim Seung-Gyu menafikan percubaan lencong Jamal Rashed tetapi mereka menyamakan kedudukan 14 minit sebelum tamat waktu sebenar setelah Al Romaihi merembat kencang di dalam kotak penalti susulan percubaan Mahdi Alhumaidan dihalang Hong Chul.

Hwang Ui-Jo meraih peluang keemasan untuk menyumbat gol kemenangan dalam waktu kecederaan apabila Waleed Al Hayam melakukan kesilapan hantaran ke belakang, namun dia sekadar menyaksikan percubaannya tersasar ke sebelah kanan gawang walaupun hanya berdepan penjaga gol Bahrain.

Alawi terpaksa meninggalkan padang dengan penuh emosi ketika aksi babak pertama masa tambahan selepas gagal pulih daripada kecederaan yang diterima sewaktu melakukan tendangan gol dan penggantinya, Abdulkarim Fardan, tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalang Jin-Su daripada menyumbat gol kemenangan, sekali gus mengesahkan Korea Selatan tempat dalam kelompok lapan pasukan terakhir.