OMAN 3 TURKMENISTAN 1

Oman melangkah ke pusingan kedua Piala Asia 2019 selepas menundukkan Turkmenistan 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan F di Stadium Mohammed bin Zayed, Abu Dhabi, sebentar tadi.


Oman melangkah ke pusingan itu buat kali pertama sejak empat penyertaan terdahulu dan akan bertemu juara Kumpulan D, Iran, di venue sama, Ahad ini.

Kedudukan dua pasukan teratas Kumpulan F, bagaimanapun, tidak terusik dengan Jepun kekal selaku pendahulu selepas menewaskan pasukan di tangga kedua, Uzbekistan, 2-1 dalam satu lagi perlawanan.

Terdahulu, Oman hampir mengejutkan Jepun dalam aksi pembukaan sebelum tewas 2-3.

Mereka kemudian dibelasah Uzbekistan 4-0 dalam perlawanan kedua.

Berdasarkan dua keputusan itu, kemenangan dengan kelebihan dua gol ke atas Turkmenistan sudah cukup untuk menjamin kemaraan skuad kendalian Pim Varbeek itu.

Ancaman daripada bahagian sayap Oman kerap kali mendatangkan masalah buat Turkmenistan.

Mereka sepatutnya di depan seawal minit keenam, namun rembatan kaki kiri daripada Muhsen Al Ghassani dari tengah-tengah kawasan penalti berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Mamed Orazmuhamedov.

Pasukan Asia Barat itu akhirnya memperoleh gol yang dinanti-nantikan selepas kapten pasukan, Ahmed Al Mahaijri, merembat kencang jaringan dari jarak 25 ela pada minit ke-20.

Oman meneruskan dominasi itu dengan Khalid Al Hajri berpeluang melebarkan jurang jaringan, namun sepakannya tersasar jauh.

Kegagalan itu hampir membuatkan mereka berputih mata selepas Turkmenistan menjaringkan gol penyamaan menerusi gerakan solo gemilang Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-41.

Serangan bertali arus terus dilancarakan Oman dalam babak kedua, namun kerap kali dikecewakan aksi penyelamatan tangkas Orazmuhamedov.

Penjaga gol itu, bagaimanapun, tewas pada minit ke 84 selepas Muhsen menebus kesilapan lalu dengan meleret bola muntah yang cuba diselamatkan Orazmuhamedov.

Keraian Oman dilengkapkan dengan jaringan penutup dramatik daripada Mohammed Al-Musallami yang menanduk gol penting pasukan itu pada minit ketiga masa kecederaan.