IRAQ 3 VIETNAM 2

Iraq bangkit dua kali untuk menewaskan Vietnam dalam aksi Kumpulan D, Piala Asia di Stadium Zayed Sport City, Abu Dhabi, sebentar tadi.


Vietnam terlebih dahulu di depan selepas pertahanan Iraq, Ali Faez Atiyah, tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-24.

Iraq, bagaimanapun, memberi reaksi balas pantas menerusi jaringan daripada penyerang sensasi mereka, Mohanad Ali Kadhim, pada minit ke-35.

Namun, kelebihan itu hanya bertahan selama tujuh minit.

Nguyen Cong Phuong kembali meletakkan Vietnam di depan menjelang tamat separuh masa pertama.

Iraq kemudian menguasai hampir keseluruhan babak kedua dengan pemain gantian, Humam Tariq, menjaringkan gol penyamaan buat skuad Singa Mesopotamia itu, 15 minit selepas perlawanan bersambung.

Seminit sebelum perlawanan tamat, Ali Adnan menjaringkan gol cantik daripada sepakan percuma menewaskan penjaga gol, Dang Van Lam, yang menjamin kemenangan pertama Iraq dalam kempen kali ini.

Selepas ini, Iraq akan bertemu Yaman, Sabtu ini sambil Vietnam pula akan bertemu pendahulu kumpulan, Iran, pada hari yang sama.