KOREA SELATAN 2 CHINA 0

Son Heung-min memberikan impak serta-merta dalam Piala Asia 2019 apabila dia merangsang Korea Selatan untuk kemenangan 2-0 ke atas China bagi mengesahkan kedudukan juara Kumpulan C di Abu Dhabi, sebentar tadi.


Terlepas dua perlawanan pertama yang dimenangi skuad Taegeuk Warriors itu, Heung-min tidak berlengah untuk membuat kehadirannya dirasai dengan mengilhamkan jaringan oleh Hwang Ui-jo dan Kim Min-jae yang memberikan mereka tiga mata lagi di Stadium Al Nahyan.

Sebagai juara Kumpulan C, Korea seterusnya akan berdepan salah satu daripada empat pasukan terbaik di tangga ketiga peringkat kumpulan, Isnin ini, manakala China selaku naib juara akan menentang naib juara Kumpulan A, Thailand, Ahad ini, di peringkat kalah mati.

Hanya tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Isnin lalu, bintang Tottenham itu serta-merta diserapkan dalam kesebelasan utama skuad bimbingan Paulo Bento itu di samping diberikan lilitan lengan ketua pasukan.

Segala tumpuan terarah sama ada dia masih terjejas oleh kekalahan Spurs kepada Manchester United, Ahad lalu.

Namun, selepas hanya 12 minit permainan, kesungguhan Heung-min terserlah apabila dia dijatuhkan Shi Ke dalam kotak penalti. Ui-jo tidak melakukan kesilapan untuk menewaskan penjaga gol, Yan Junling, untuk Korea berada di depan.

Bersemangat dengan pendahuluan awal itu, Korea semakin lancar dalam gerakannya seperti diserlahkan separa voli Hwang Hee-chan pada minit ke-22 yang bagaimanapun diselamatkan Junling. Berselang tidak sampai seminit, Ui-jo pula menyaksikan usahanya dinafikan tiang gol.

Namun, dominasi Korea tidak mampu dihalang enam minit selepas rehat. Sekali lagi Heung-min terbabit dengan melambungkan sepakan sudut yang ditanduk masuk oleh Min-jae.

Seharusnya kedudukan berubah kepada 3-0 pada minit ke-55 apabila Ui-jo melepasi perangkap ofsaid tapi sepakan tumitnya dihampakan.

Sebaliknya, China, yang memilih merehatkan beberapa tonggak, termasuk Wu Lei, jarang sekali mengancam pintu gol yang dikawal Kim Seung-gyu.

Ia sekadar memudahkan tugas Korea untuk mengekalkan rekod 100 peratusnya dalam tiga perlawanan.

Lebih daripada itu, selepas kemenangan hambar 1-0 ke atas kedua-dua Filipina dan Kyrgyzstan sebelumnya, skuad Taegeuk Warriors itu akhirnya menunjukkan mereka adalah pencabar kejuaraan, terutama dengan Heung-min memimpin cabaran mereka.