JEPUN 2 UZBEKISTAN 1

Jepun melangkah ke pusingan 16 Piala Asia 2019 selaku juara Kumpulan F selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pencabar terdekat, Uzbekistan, 2-1 menerusi gol kemenangan daripada Tsukasa Shiotani dalam aksi di Stadium Khalifa Bin Zayed, sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan bertemu hari ini dengan kutipan enam mata dan walaupun skuad Uzbekistan kendalian Hector Cuper itu terlebih dahulu meraih jaringan pembukaan, Jepun bangkit untuk memastikan kemenangan dan menjuarai Kumpulan F.

Drama ddalam babak pertama hadir lima minit sebelum rehat apabila Eldor Shomurodov membuka tirai jaringan menerusi teknik penyudah bijak susulan larian solo.

Tetapi Yoshinori Muto pantas menyamakan kedudukan, sekali gus membolehkan peledak Newcastle United itu meraih gol pertama di peringkat kelab dan antarabangsa sejak kali terakhir melakukannya sewaktu berdepan Manchester United, Oktober lalu.

Aksi cemerlang yang dipamerkan Jepun sejak babak kedua bersambung membolehkan mereka meletakkan diri di depan sebelum aksi berusia sejam dan Uzbekistan jelas tidak mampu melawan.

Jepun tampak menguasai perlawanan sejak wisel permulaan ditiupkan, namun kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan.

Bagaimanapun, segalanya berbeza pada minit ke-40 setelah Shomurodov mengutip bola di kawasan Jepun, meluru ke kubu lawan sambil melepasi dua pertahanan sebelum melepaskan tendangan ke arah kanan gawang Jepun.

Namun, pendahuluan itu hanya bertahan tiga minit. Sei Muroya melakukan hantaran lintang kemas dari arah kanan dan Muto melonjak untuk menanduk masuk jaringan pertama buat Jepun sejak Oktober 2015.

Jepun memulakan babak kedua dengan baik dan setelah melepaskan beberapa peluang, Shiotani muncul dengan penuh bergaya menerusi rembatan dari jarak 25 ela dan bola tepat masuk ke penjuru kanan gol Uzbekistan.

Jaringan itu membolehkan Jepun mara selaku juara Kumpulan F sambil Uzbekistan muncul naib juara kumpulan.