Jurulatih Filipina, Sven-Goran Eriksson, berkata pasukannya akan terus berjuang untuk memastikan kemaraan dalam Piala Asia 2019 tatkala mereka bersedia menghadapi tentangan Kyrgyzstan, malam ini.

Barisan pemain Eriksson tewas dalam kedua-dua perlawanan pembukaan Kumpulan C dalam kempen di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan belum menyumbat sebarang gol.

Namun, dengan empat slot yang ditawarkan kepada pasukan terbaik di tangga ketiga, maka harapan mereka tetap bernyala.

Kyrgyzstan turut berada dalam situasi yang sama dan ini menghangatkan lagi pertemuan di Stadium Rashid malam ini.

Eriksson berkata: "Masih ada peluang lagi dan selagi ada kemungkinan, kami akan terus berjuang.

"Saya yakin pemain akan berjuang dan melakukan segala-galanya untuk cuba memenangi perlawanan. Saya 100 peratus yakin.

"Kami berada dalam keadaan yang sama dengan pihak lawan, jadi ia sangat getir. Kami ada peluang tetapi ia akan menjadi perlawanan yang sukar, mereka mempunyai pemain yang lincah dan penyerang yang bagus."

Penggempur Azkals, Patrick Reichelt, menambah: "Ia adalah peluang untuk kami menjaringkan gol terhadap sebuah pasukan yang baik yang pernah kami tewaskan.

"Apa yang dapat kami lakukan adalah memberikan saingan, dapatkan keputusan yang boleh membantu kemaraan kami."

Jurulatih Kyrgyzstan, Alexander Krestinin, mendedahkan bahawa beliau dan pemainnya menerima ucapan selamat berjaya daripada Presiden Sooronbay Jeenbekov.

Krestinin berkata: "Saya sempat bercakap dengan Presiden dan pemain juga bercakap dengannya.

"Adalah sangat penting apabila presiden sebuah negara memberikan galakan. Ia menunjukkan bahawa seluruh negara bersatu. Keinginan kami hanya untuk menghasilkan prestasi terbaik."